Cikgu 'terlampau' didenda RM16,000

am@hmetro.com.my

Seremban: Guru sekolah menengah di Pedas, Rembau, didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas empat pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap tiga pelajar perempuan dengan niat mencabul kehormatan mangsa.

Hakim Tasnim Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhamad Asyraf Ahmad, 36, mengaku bersalah atas empat pertuduhan pilihan itu pada prosiding jatuh hukum.

“Setelah mendengar pengakuan salah kamu, mahkamah menerima pengakuan salah kamu dan kamu didapati bersalah dan disabitkan atas kesalahan.

“Selepas meneliti fakta kes, eksibit-eksibit yang dikemukakan, kamu tiada rekod kesalahan lalu, rayuan kamu, faktor pemberatan dan peringanan serta fakta kepentingan awam, mahkamah hari ini menjatuhkan hukuman terhadap kamu,” katanya.

Tertuduh dijatuhi hukuman denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan setiap hukuman tambahan iaitu penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda setiap pertuduhan berkenaan.

Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap tiga pelajar perempuan berusia 14, 15 dan 16 tahun (ketika kejadian) dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik spa sekolah dan di dalam kelas sekolah berkenaan pada April dan Mei 2025.

Satu kejadian turut berlaku di dalam sebuah kereta di Kilometer 242.1 Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS) arah utara dekat Rembau, antara jam 9 hingga 9.20 pagi, 17 Mei 2025.

Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua hukuman itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni dan tertuduh diwakili Peguam, P Bhaerabii.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top