Kuala Lumpur: Jerebu bukan sahaja memberi risiko kesihatan kepada golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit asma namun boleh menjejaskan individu sihat sekiranya terdedah kepada pencemaran udara secara berpanjangan.
Pakar Perunding Kanan Perubatan Kecemasan Universiti Malaya Prof Datuk Dr Rishya Manikam berkata zarah halus dalam jerebu boleh memasuki saluran pernafasan secara berterusan, sekali gus meningkatkan risiko masalah seperti batuk, selesema, sakit tekak dan kesukaran bernafas.
“Tidak semestinya kerana kita sihat, jerebu tidak akan mengganggu kita. Kalau itu persepsinya, perkara itu salah,” katanya semalam.
Dr Rishya berkata kesan pendedahan terhadap pencemaran udara lebih cepat dirasai oleh golongan yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan penyakit paru-paru kronik serta kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata peningkatan gejala pernafasan ketika musim jerebu tidak seharusnya dianggap sebagai perkara biasa kerana jangkitan lain juga boleh berlaku dan memerlukan pemeriksaan doktor.
Katanya, antara simptom yang memerlukan rawatan segera termasuklah sakit atau dada berasa sempit, tercungap-cungap ketika melakukan aktiviti yang biasanya tidak menyebabkan keletihan, demam serta batuk berkahak secara berterusan.
“Masyarakat disaran memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan masing-masing dan mengurangkan aktiviti luar apabila tahap pencemaran meningkat.
“Kalau boleh, sekiranya tempat itu IPU tinggi, jangan buat aktiviti luar kerana lebih banyak kita buat aktiviti luar, lebih laju pernafasan kita, lebih banyak zarah itu masuk ke saluran pernafasan,” katanya.
Beliau turut menasihati pesakit asma untuk sentiasa membawa inhaler selain orang ramai disaran mendapatkan rawatan awal sekiranya gejala bertambah teruk.
© New Straits Times Press (M) Bhd

