Tetak lelaki hingga maut: Polis buru 3 suspek

Tetak lelaki hingga maut: Polis buru 3 suspek

am@hmetro.com.my

Tangkak: Polis memburu tiga lelaki dipercayai menetak seorang lelaki menggunakan parang sehingga maut dalam kejadian di Bukit Kangkar, Sungai Mati, semalam.

Suspek dipercayai melarikan diri menaiki kereta jenis saloon berwarna putih sebaik menetak lelaki berusia 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 7.40 malam.

Menurutnya, sebelum kejadian mangsa dikejar tiga lelaki berhampiran sebuah kedai makan dan melarikan diri ke sebuah rumah di Batu 9, Bukit Kangkar.

“Mangsa dipercayai diserang tiga lelaki bersenjatakan parang hingga parah, sebelum suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

“Susulan kejadian itu, polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek.

“Motif kejadian juga masih dalam siasatan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Roslan berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana boleh menjejaskan siasatan.

“Mana-mana individu mempunyai maklumat diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Sharidathul Alfaha di talian 019-2699573 ataupun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak 06-9781222 serta balai polis berhampiran.

“Kerjasama orang ramai amat dihargai bagi membantu polis menyelesaikan kes ini dengan segera,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Tong Wei Sheng disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital akibat kecederaan di tangan, kaki dan belakang.

Sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakannya pergi ke lokasi kejadian untuk berjumpa dengan anggota kumpulan terbabit, dengan muncul beberapa buah kereta yang dinaiki suspek.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa dikejar tiga lelaki masing-masing membawa parang serta menutup muka dengan baju sejuk serta topeng.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top