East Rutherford, New Jersey: Kylian Mbappe mengukir namanya dalam sejarah bola sepak Perancis apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Les Bleus selepas meledak dua gol ketika membantu pasukannya menewaskan Senegal pada aksi pembukaan Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.
Kapten Perancis itu terlebih dahulu menyamai rekod Olivier Giroud menerusi jaringan pembukaan pada minit ke-66 sebelum melengkapkan malam bersejarahnya dengan gol kedua pada masa kecederaan babak kedua.
Jaringan itu menyaksikan Mbappe mengumpul 58 gol antarabangsa, sekali gus mengatasi rekod 57 gol milik Giroud untuk muncul sebagai penjaring terbanyak baharu Perancis.
Pencapaian tersebut dilakar ketika pemain berusia 27 tahun itu mengetuai cabaran Les Bleus dalam perlawanan pertama mereka di Stadium New York New Jersey.
Mbappe sebelum ini sudah dianggap antara legenda moden Perancis selepas membantu negaranya menjulang Piala Dunia 2018 serta muncul tonggak utama dalam beberapa kejohanan besar.
Kini, dia menambah satu lagi pencapaian gemilang dalam karier antarabangsanya dengan memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang Giroud.
Dengan Perancis memulakan kempen Piala Dunia dengan kemenangan, Mbappe dijangka terus menjadi sandaran utama Didier Deschamps dalam usaha memburu kejuaraan dunia sekali lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




