am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Polis menahan tiga lagi lelaki berhubung insiden pembakaran mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai, yang tular di media sosial sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor, berkata tangkapan kira-kira jam 4.30 pagi tadi menjadikan tujuh individu ditahan, dengan enam daripadanya akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, esok.
“Dalam serbuan di sekitar kawasan Skudai, kita menahan tiga lelaki berusia lingkungan 19 hingga 23 tahun serta melakukan beberapa rampasan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dua daripada tiga suspek baharu mempunyai rekod jenayah dan dadah, namun ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiganya bebas daripada pengaruh dadah.
Terdahulu, empat lelaki berusia 16 hingga 25 tahun ditahan kira-kira jam 7.30 malam kelmarin dan direman tiga hari sehingga esok.
Azrol Anuar berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.
“Empat daripada suspek terbabit akan dituduh mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan gopoh atau cuai membabitkan bahan letupan.
“Dua lagi suspek akan dituduh di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memberhentikan atau membiarkan kenderaan di atas jalan raya sehingga mendatangkan bahaya, halangan serta kesusahan tidak berpatutan kepada pengguna lain.
“Seorang lagi suspek yang ditahan sudah dibebaskan dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd