LATEST
National

Anwar tak perlu tunduk kepada tekanan desak bubar Parlimen – Loke

Anwar tak perlu tunduk kepada tekanan desak bubar Parlimen – Loke

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak perlu tunduk kepada sebarang tekanan politik yang mendesak supaya Parlimen dibubarkan lebih awal, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Beliau berkata, kuasa dan hak prerogatif untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen, hanya terletak di tangan Perdana Menteri.

“Kita tahu mereka cuba menggunakan momentum sekarang untuk menekan Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen.

“Namun, saya yakin Perdana Menteri tidak akan tunduk kepada tekanan kerana Perdana Menteri masih ada mandat, masih ada sokongan yang cukup di Parlimen untuk meneruskan pentadbirannya.

“Mandat beliau ada setahun lagi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) di Batu Berendam, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan supaya Parlimen dibubarkan berbanding melakukan rombakan Kabinet susulan tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, sebagai Ahli Dewan Negara akan berakhir pada 11 Disember depan.

Terdahulu, beliau mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan, berkuat kuasa serta-merta, berikutan keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang memerintahkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan di rumah di kediaman bekas Perdana Menteri itu.

Mengulas lanjut, Loke menegaskan walaupun beliau sudah melepaskan jawatannya dalam Kabinet, DAP kekal memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk terus menerajui kepimpinan negara hingga tamat penggal pentadbiran.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan desakan agar Parlimen dibubarkan lebih awal sebagai sekadar ‘permainan politik’, dan menasihati rakan sekutu dalam kerajaan untuk membuat ketetapan sendiri sekiranya sudah tidak lagi sehaluan.

“Sepatutnya, kalau mereka berasa sudah tidak boleh bekerjasama ataupun tidak lagi menghormati Perdana Menteri, mereka boleh membuat tindakan mereka dari segi sokongan ataupun menarik balik sokongan… tetapi tidak payah menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news