am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Seramai 6,132 anggota unit rondaan bermotosikal (URB) dan unit kereta peronda (MPV) akan bertugas sepanjang Op Selamat 26 sempena perayaan Aidilfitri bermula 19 hingga 24 Mac ini.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti(JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu turut akan membabitkan 3,375 unit MPV dan URB.
Menurutnya, sebanyak 1,643 unit MPV dengan kekuatan 4,332 anggota akan digerakkan di seluruh kontinjen bagi menjalankan rondaan serta pemantauan kawasan berisiko jenayah.
Katanya, 1,732 unit motosikal URB bersama 1,800 anggota digerakkan bagi meningkatkan rondaan dan pemantauan keselamatan.
“Selain itu sebanyak 22 kenderaan MPV dipinjamkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi pemantauan kawasan ‘blackspot’ kemalangan serta lokasi sering mengalami kesesakan jalan raya,” katanya pada Program Konvoi Iftar Sanjung Budi Frontliner, di sini hari ini.
Beliau berkata, orang ramai digalakkan menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi menyalurkan maklumat kepada pihak polis apabila pulang ke kampung sempena Aidilfitri.
“Aplikasi ini memudahkan orang ramai memaklumkan ketiadaan mereka di rumah serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
“Maklumat itu membantu pihak polis menjalankan rondaan dan pemantauan secara berkala khususnya di kawasan ‘hotspot’ jenayah dan lokasi yang kerap berlaku kesesakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




