Elijah Just cemerlang, cipta sejarah New Zealand di Piala Dunia

Elijah Just cemerlang, cipta sejarah New Zealand di Piala Dunia

Dallas: Penyerang lincah New Zealand, Elijah Just mencuri tumpuan dunia selepas meledak dua gol penting ketika membantu negaranya mencatat keputusan seri 2-2 menentang Iran dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia 2026 di Los Angeles.

Pemain berusia 26 tahun itu menjadi watak utama dalam perlawanan tersebut bersama penyerang Chris Wood apabila gandingan mereka menyusahkan benteng pertahanan Iran sepanjang 90 minit permainan.

Just membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh apabila menerima hantaran Wood sebelum memperdaya pertahanan lawan dan melepaskan rembatan padu menewaskan penjaga gol Alireza Beiranvand.

Iran bangkit menyamakan kedudukan sebelum separuh masa pertama, namun Just sekali lagi muncul penyelamat apabila menambah gol kedua New Zealand untuk kembali mendahului perlawanan.

Pemain kecil berbadan ringan itu mencipta sejarah sebagai pemain New Zealand pertama menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan Piala Dunia, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai bintang baharu negara itu.

“Sukar untuk digambarkan, saya sangat teruja selepas gol pertama dan kemudian dapat peluang lagi pada babak kedua,” kata Just.

“Melihat rakan sepasukan begitu gembira, ia akan kekal bersama saya sepanjang hayat.”

New Zealand yang dibimbing Darren Bazeley kembali ke pentas Piala Dunia selepas 16 tahun dan masih memburu kemenangan pertama dalam sejarah penyertaan mereka.

Selepas ini mereka bakal berdepan cabaran lebih besar menentang Mesir dan Belgium, namun Just menegaskan pasukannya mampu mencipta kejutan jika diberi ruang.

Dalam pada itu, prestasi cemerlangnya turut mencetuskan perhatian kelab besar Scotland termasuk Rangers dan Celtic yang dikaitkan berminat mendapatkan khidmatnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top