
Ebrahim Zolfaqari. Foto: Agensi
ISTANBUL – Iran pada Sabtu memberi amaran bahawa pelabuhan dan beberapa bandar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) boleh menjadi sasaran, dengan mendakwa lokasi itu digunakan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) untuk melancarkan serangan terhadap wilayah Iran, lapor Anadolu Ajansi.
Ebrahim Zolfaqari, jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran berkata, tentera AS telah menyasarkan Pulau Abu Musa di Iran menggunakan peluru berpandu yang dilancarkan dari lokasi di UAE, menurut Agensi Berita Fars Iran.
Beliau mendakwa tentera AS, selepas kemusnahan beberapa pangkalan serantau mereka, kini beroperasi dari pelabuhan, jeti dan lokasi di dalam beberapa bandar di UAE.
Jurucakap itu berkata Iran menganggap sebagai ‘hak sah’ untuk menyasarkan lokasi pelancaran peluru berpandu AS, termasuk pelabuhan perkapalan, jeti dan lokasi yang menempatkan anggota tentera AS di beberapa bandar di UAE.
Beliau turut menggesa penduduk di UAE supaya meninggalkan kawasan pelabuhan, jeti dan lokasi yang menempatkan tentera AS, sambil berkata amaran itu dikeluarkan bagi mengelakkan kemudaratan kepada orang awam.
Tiada kenyataan segera daripada pihak berkuasa UAE setakat ini.
Sejak Israel dan AS melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari yang mengorbankan lebih 1,200 orang termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei, permusuhan di rantau itu semakin memuncak.
Iran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS. – Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Iran memberi amaran pelabuhan dan bandar di UAE boleh jadi sasaran kerana digunakan oleh tentera AS Tentera AS dilaporkan menggunakan peluru berpandu dari UAE untuk serang Iran Iran mendakwa AS beroperasi dari pelabuhan dan lokasi di dalam bandar UAE Iran menganggap ia hak sah untuk sasarkan lokasi yang menempatkan tentera AS di UAE Jurucakap Iran menggesa penduduk UAE meninggalkan kawasan yang mungkin jadi sasaran serangan



