ZONTES Malaysia memperkenalkan empat skuter baharu di bawah siri ZONTES 368 menerusi kempen ‘Geng4Ride’, iaitu 368D, 368E, 368G dan 368K yang masing-masing ditawarkan pada harga RM23,800, RM25,800, RM28,800 dan RM27,800.
Pelancaran ini menandakan evolusi penting daripada siri 350, dengan peningkatan kapasiti enjin kepada 368cc serta penambahbaikan daripada segi prestasi dan keselesaan tunggangan.
Pengurus Pemasaran Nasional ZONTES Malaysia, Goi Seong Keng berkata inisiatif ‘Geng4Ride’ diwujudkan bagi memadankan gaya tunggangan penunggang dengan model skuter yang paling sesuai.
“Ia menyasarkan pelbagai jenis penunggang sama ada untuk kegunaan bandar, konvoi jarak jauh, pengembaraan ringan atau tunggangan santai,” katanya ketika pelancaran.
Model ZONTES 368D mewakili kumpulan ‘Geng Stylo’, iaitu penunggang bandar yang gemar gaya hidup urban seperti ‘cafÈ hopping’.
Ia dengan berat hanya 175 kilogram, ia kira-kira 25 kilogram (kg) lebih ringan berbanding 350D sekali gus menawarkan pengendalian lebih lincah di jalan bandar.
Skuter itu dikuasakan enjin 368cc yang menghasilkan 28.5kW kuasa maksimum dan 40Nm tork, ruang simpanan 20 liter dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu kelabu, hitam dan hijau.
Bagi penggemar konvoi jarak jauh, ZONTES 368E diperkenalkan untuk kumpulan ‘Geng Konvoi’ dan skuter touring ini direka bagi memberikan keselesaan maksimum sepanjang perjalanan jauh.
Model itu dilengkapi pemanas pemegang dan tempat duduk, selain ruang kaki luas 260 milimeter bagi meningkatkan ergonomik. Ia juga menawarkan ruang simpanan 50 liter yang mampu memuatkan dua topi keledar serta pilihan warna kelabu dan hitam.
Sementara itu, ZONTES 368G menyasarkan kumpulan ‘Geng Explorer’, iaitu penunggang yang gemarkan aktiviti lasak serta pengembaraan ringan di laluan mencabar.
Skuter ini hadir dengan tangki bahan api besar 17.5 liter bagi jarak perjalanan lebih jauh.
Model berkenaan turut menawarkan mod tunggangan Touring dan Sport, selain ruang simpanan belakang 52 liter. Ia ditawarkan dalam warna coklat dan kelabu serta pilihan tetapan standard atau ‘high setup’ dengan jarak kelegaan tanah lebih tinggi.
Menurut ZONTES Malaysia, sejak dilancarkan pada Januari 2025, model 368G menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 1,500 tempahan dalam tempoh seminggu dan melebihi 5,000 unit terjual di seluruh negara.
Model terbaru ZONTES 368K pula mewakili ‘Geng Healing’, iaitu penunggang yang mahukan pengalaman tunggangan lebih santai.
Ia dilengkapi tempat duduk gaya sofa dengan sokongan lumbar, paparan TFT 6.75 inci, cermin angin elektrik serta rak bagasi aloi magnesium.
Kesemua model dalam siri ini turut dilengkapi sistem Bosch Electronic Throttle Control (ETC), Cruise Control, Traction Control System (TCS), Tyre Pressure Monitoring System (TPMS) serta sistem brek Anti-lock Braking System (ABS) dwi-saluran bagi meningkatkan keselamatan dan kawalan ketika menunggang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




