Ada apa di Pulau Kharg yang jadi sasaran serangan AS?

Ada apa di Pulau Kharg yang jadi sasaran serangan AS?

Tehran: Pulau Kharg, di mana tentera Amerika Syarikat (AS) memusnahkan sasaran ketenteraan pada 13 Mac lalu, adalah hab bagi 90 peratus eksport minyak Iran dan dilihat sebagai kelemahan utama yang boleh mencetuskan tindak balas teruk Tehran.

Presiden AS, Donald Trump berkata, negaranya ‘sudah memusnahkan sepenuhnya setiap sasaran ketenteraan’ di Kharg dan mengancam infrastruktur minyak jika Iran terus mengganggu perkapalan di Selat Hormuz.

Iran terus menghantar minyak pada kadar 1.1 juta hingga 1.5 juta tong sehari sejak meningkatkan pengeluaran menjelang perang oleh Israel dan AS pada 28 Februari lalu.

Dalam pada itu, pasaran menunggu sebarang tanda bahawa serangan itu merosakkan rangkaian paip, terminal dan tangki simpanan di Kharg.

Gangguan kecil sahaja boleh menambah ketegangan bekalan global dan memberi tekanan kepada pasaran yang sudah tidak stabil.

Bagaimanapun, Dan Pickering dari Pickering Energy Partners berkata, pemusnahan infrastruktur Kharg boleh mengeluarkan dua juta tong sehari daripada pasaran sehingga Selat Hormuz diperbaiki.

Menurut media Iran, tentera bersenjata Iran berkata, sebarang serangan ke atas infrastruktur minyak dan tenaga Iran akan membawa kepada serangan terhadap infrastruktur tenaga syarikat minyak yang bekerjasama dengan AS di rantau itu.

Penganalisis AS, Patrick De Haan berkata, ketegangan meningkat kerana Iran sudah sedikit yang boleh hilang dan lebih berani bertindak apabila terhimpit.

Iran hampir menutup sepenuhnya perkapalan melalui Selat Hormuz, laluan bagi kira-kira 20 peratus aliran minyak global, kebanyakannya ke Asia.

Pulau Kharg terletak 26 kilometer (km) dari pantai Iran dan 483 km barat laut di Selat Hormuz, di perairan yang cukup dalam untuk membolehkan kapal tangki besar berlabuh.

Sebahagian besar minyak Iran melalui Kharg dihantar ke China, pengimport minyak mentah terbesar dunia, yang mengambil langkah termasuk melarang eksport bahan api diproses untuk mengekalkan bekalan.

Iran menyumbang 11.6 peratus daripada import melalui laut China setakat 2026, kebanyakannya dibeli penapis bebas kerana harga yang diskaun akibat sekatan AS.

Menurut laporan JP Morgan yang memetik data Kpler, Kharg mempunyai kapasiti simpanan kira-kira 30 juta tong dan menyimpan kira-kira 18 juta tong minyak mentah pada awal Mac.

Iran adalah pengeluar Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) ketiga terbesar, mengepam kira-kira 3.3 juta tong sehari minyak mentah dan 1.3 juta tong sehari kondensat serta cecair lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top