hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kemungkinan Aidilfitri sama ada disambut pada Jumaat atau Sabtu ini tidak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai apabila kebanyakan mereka sudah membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi kemungkinan ‘raya mengejut’ tahun ini.
Tinjauan Harian Metro di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini, mendapati majoriti individu yang ditemui berkata, mereka sudah bersedia daripada segi persiapan seperti membeli pakaian raya, membuat kuih serta merancang perjalanan pulang ke kampung.
Malah, ada yang menganggap kemungkinan perubahan tarikh sambutan Aidilfitri sebagai perkara biasa setiap tahun dan memilih untuk membuat persiapan lebih awal bagi mengelak sebarang kesulitan sekiranya ia disambut awal.
Pekerja kilang, Mohammad Firdaus Jembari, 41, berkata, dia sudah membuat persiapan lebih awal susulan ura-ura kemungkinan Aidilfitri disambut pada Jumaat ini yang boleh menyebabkan situasi ‘raya mengejut’.
Menurutnya, keadaan itu agak mencabar kerana cuti yang digazetkan adalah terhad selain perlu mengatur masa untuk membeli barangan keperluan serta merancang perjalanan pulang ke kampung di Sabak Bernam, Selangor.
“Kalau dalam tempoh seminggu ini kita nak siapkan semua perkara memang agak sukar berbanding perancangan asal, tetapi kita cuba lakukan yang terbaik.
“Saya masih bekerja pada Khamis, jadi perlu menyusun masa sebaik mungkin supaya dapat pulang ke kampung lebih awal jika berkesempatan,” katanya.
Nurul Huda Che Ahmad, 40, berkata, dia sudah membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi kemungkinan berlakunya sambutan Aidilfitri pada Jumaat ini.
Menurutnya, antara persiapan dibuat termasuk membeli bahan masakan, kuih-muih serta memastikan pakaian raya sudah tersedia bagi mengelakkan kelam-kabut sekiranya 1 Syawal diumumkan lebih awal daripada jangkaan.
“Tahun ini saya akan beraya di Pantai Remis, Kuala Selangor dan jaraknya tidak terlalu jauh dari tempat tinggal saya di Seri Manjung.
“Jadi kalau raya jatuh pada Jumaat pun tiada masalah kerana saya sudah mula bercuti dan akan pastikan barang masakan dibeli lebih awal sebagai persediaan jika berlaku ‘raya mengejut’,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Amirul Iman, 29, berkata, dia sudah mengambil cuti lebih awal sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya Aidilfitri, Jumaat ini.
“Tahun ini saya akan pulang ke kampung halaman isteri di Kuala Pilah. Saya sudah merancang untuk balik lebih awal pada Rabu pagi selepas sahur supaya ada masa beberapa hari untuk membuat persiapan sekiranya raya jatuh pada Jumaat atau Sabtu.
“Keluarganya di kampung juga sudah biasa membuat persiapan lebih awal termasuk menyediakan bahan masakan dan keperluan lain bagi mengelakkan kelam-kabut jika berlaku ‘raya mengejut’,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




