Menteri tampan Mexico curi tumpuan

Menteri tampan Mexico curi tumpuan

Bandaraya Mexico: Menteri Keselamatan Mexico, Omar Garcia Harfuch, kini boleh ‘ditemukan’ di pasaran dan kedai sebagai patung mini, berpakaian seperti Batman atau kadang-kadang ‘tanpa baju’.

Barangan seperti selimut comel, mainan lembut dan potongan papan kad yang menampilkan imejnya menjadi tular selepas serbuan pada 22 Februari lalu yang membunuh ketua Kartel Jalisco Generasi Baharu, Nemesio Oseguera atau El Mencho.

Imej Garcia Harfuch, 44, menghiasi produk seperti hiasan parti, bantal, tuala dan patung dikenali sebagai ‘Harfuchitos’ atau Harfuch kecil.

Penganalisis politik dan keselamatan berkata, Garcia Harfuch berpotensi menjadi calon presiden pada 2030 apabila tempoh Presiden, Claudia Sheinbaum berakhir.

Tinjauan awal menunjukkan beliau mendahului tokoh politik lain termasuk Menteri Ekonomi, Marcelo Ebrard, yang dijangka mencuba bertanding lagi.

Di Mexico, diabadikan sebagai patung biasanya hanya diberikan kepada presiden atau maskot yang sangat popular, seperti Dr Simi iaitu maskot rangkaian farmasi terkenal di negara itu.

Populariti Garcia Harfuch meningkat selepas serbuan yang membunuh El Mencho.

Serbuan yang dipimpin bersama oleh Garcia Harfuch itu, mempunyai dimensi peribadi kerana beliau diserang El Mencho pada 2020, meninggalkannya dengan tiga luka tembakan dan membunuh dua pengawal peribadinya.

Dalam pada itu, Garcia Harfuch tidak memberi komen mengenai populariti barangan yang menampilkan imejnya.

Imej yang dijana kecerdasan buatan (AI) turut tular, menunjukkan beliau mempromosikan produk dan aplikasi yang membolehkan pengguna menambah imej beliau pada gambar sendiri.

Di MercadoLibre, selimut Harfuch tersenarai antara barangan terlaris, manakala Amazon menawarkan selimut bersaiz besar dengan wajah menteri itu.

Pereka barang Garcia Harfuch di Mexico City, Ingrid Rebeca Sanchez, 22, berkata, perniagaan meningkat pesat selepas kematian El Mencho dengan sehingga 150 selimut dijual setiap hari termasuk pesanan dari Amerika Syarikat.

Kini, kilang menghasilkan barangan Garcia Harfuch, termasuk patung goyang dan bantal bersaiz sebenar yang menunjukkan popularitinya di Mexico.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top