am@hmetro.com.my
Butterworth: Media terus memainkan peranan penting sebagai nadi menghubungkan masyarakat dengan realiti semasa, selain menjadi jambatan antara penggubal dasar, pelaksana dan orang awam dalam memahami sesuatu peristiwa.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, dalam era penyebaran maklumat serba pantas, kewartawanan berteraskan kebenaran, integriti serta penuh bertanggungjawab kekal menjadi prinsip utama yang tidak boleh diketepikan.
“Dalam menyalurkan maklumat lebih pantas daripada sediakala di samping naratif yang sentiasa bersaing mendapatkan perhatian, kewartawanan berteras kebenaran kekal menjadi sesuatu yang amat penting dan tidak boleh diabaikan.
“Ini juga sama pentingnya dengan kerjasama dalam kalangan profesional media merentasi sempadan negara bagi memperkukuh perkongsian ilmu, pertukaran amalan terbaik serta membina kefahaman bersama dalam kalangan komuniti media.
“Usaha itu memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelaporan yang tepat dan seimbang sekali gus dapat membanteras penyebaran maklumat palsu, selain memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika berucap pada Majis Makan Malam Kerajaan Negeri Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di sini, malam ini.
Fahmi turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Pulau Pinang atas komitmen luar biasa selaku tuan rumah bagi penganjuran HAWANA edisi kali ini yang menjadi medan silaturahim meraikan warga media termasuk yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas diamanahkan di belakang tabir.
“Dalam kesibukan mengejar berita dan memenuhi tuntutan tugas, sesekali kita perlu berhenti sejenak untuk menghargai perjalanan yang telah dilalui serta memperkukuh hubungan yang telah terjalin.
“Selain itu, peranan media sebagai rakan strategik pembangunan negara menerusi sambutan ini turut memperkukuh tekad kita untuk terus memartabatkan profesion kewartawanan dalam era yang semakin mencabar ini,” katanya.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 akan berlangsung esok dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bakal menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Mengangkat tema Media Berintegriti, Teras Kredibiliti, HAWANA 2026 dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan BERNAMA sebagai agensi pelaksana bagi menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




