hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal menerima kumpulan pertama pesawat pejuang ringan jenis FA-50M (Block 20) bermula Oktober ini, sekali gus memperkasakan lagi keupayaan armada pertahanan ruang udara negara.
Berdasarkan maklumat yang diterima, penghantaran kumpulan pertama itu dijangka membabitkan antara dua hingga enam buah pesawat.
Bagaimanapun, kelancaran proses pembinaan di kilang yang disifatkan sangat pantas memungkinkan enam pesawat dihantar terus secara serentak ke Malaysia pada fasa pertama ini.
Lebih membanggakan, varian FA-50M yang dibeli oleh Malaysia ini adalah versi yang paling canggih dalam siri pesawat keluaran Korea Selatan itu.
Pesawat berkenaan dilengkapi teknologi radar Active Electronically Scanned Array (AESA) serta Sniper Advanced Targeting Pod yang memberikan kelebihan taktikal dan keupayaan serangan tepat.
Difahamkan, kesemua 18 pesawat tempur ringan itu kelak akan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang yang akan dinaik taraf sebagai hab operasi utama bagi armada Light Combat Aircraft (LCA) negara.
Terdahulu, Malaysia memeterai kontrak perolehan 18 buah pesawat bernilai RM4 bilion dengan syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) pada Mei 2023.
Baki pesawat yang lain akan dihantar secara berperingkat dan dijangka selesai sepenuhnya antara Mac hingga Jun 2028.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia juga dilaporkan sedang dalam perbincangan lanjut bersama pihak KAI bagi meneliti rancangan perolehan kumpulan kedua (Batch 2) membabitkan tambahan 18 buah pesawat lagi.
Sekiranya direalisasikan, perolehan fasa kedua itu akan melengkapkan kekuatan keseluruhan armada tempur ringan TUDM kepada 36 buah pesawat FA-50M pada masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




