Juruterbang bergaduh, pesawat penumpang menuju Israel pancar isyarat kecemasan, mendarat di Arab Saudi

Juruterbang bergaduh, pesawat penumpang menuju Israel pancar isyarat kecemasan, mendarat di Arab Saudi

Baitulmaqdis: Sebuah pesawat yang dalam penerbangan ke Israel dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), mengubah haluan serta mendarat di Arab Saudi selepas memancarkan isyarat kecemasan susulan insiden pergaduhan membabitkan pergelutan fizikal sesama juruterbangnya, kata pegawai Israel, hari ini.

Pesawat FZ1073 flydubai sedang dalam perjalanan dari Dubai ke Tel Aviv sebelum melencong merentasi ruang udara Jordan menuju Arab Saudi, selain memancarkan satu isyarat kecemasan diikuti satu lagi isyarat kecemasan beberapa minit kemudian yang menunjukkan kemungkinan berlaku gangguan menyalahi undang-undang, menurut Flightradar24.

Menurut laman sesawang itu lagi, kapal terbang Boeing 737 terbabit – yang menurut laporan media Israel, membawa kira-kira 150 penumpang warga Israel – kemudian sekali lagi memancarkan isyarat kecemasan sebelum selamat mendarat di Lapangan Terbang Tabuk, barat laut Arab Saudi.

Flightradar24 berkata, data pesawat itu dilihat menunjukkan ia tiba-tiba menjunam pantas hampir 14,000 kaki dalam tempoh kurang 30 saat sebelum isyarat kecemasan pertama.

Jurucakap syarikat penerbangan pula berkata, pesawat itu mengalami satu ‘insiden’ ketika dalam perjalanan ke Tel Aviv sebelum melencong ke Tabuk dan berjaya mendarat dengan selamat.

Jurucakap itu turut memaklumkan bahawa semua penumpang pesawat itu selamat, tanpa memberikan butiran lanjut.

Seorang pegawai Israel yang enggan namanya disiarkan, memberitahu Reuters bahawa juruterbang terbabit menghantar isyarat kecemasan setelah berlaku pergelutan fizikal sesama mereka.

Tidak dapat dipastikan segera sama ada juruterbang terbabit menghantar isyarat berkenaan secara sengaja.

Sementara itu Yasmin Abu Kasis berkata, anak perempuannya dikenali sebagai Miriam merupakan seorang daripada penumpang dalam pesawat berkenaan.

Katanya, Miriam memberitahu beliau bahawa dia terdengar jeritan dan seorang lelaki yang dilihat memegang sebilah pisau telah menjatuhkan seorang daripada juruterbang berkenaan ke lantai, selain terdapat darah di serata tempat.

Isyarat kecemasan berkenaan mencetuskan respons keselamatan secara besar-besaran di Israel.

Pejabat Perdana Menteri Israel dalam satu kenyataan pula berkata, keadaan ‘terkawal’ dan langkah diambil untuk membawa penumpang warga Israel pulang ke Israel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top