redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Warga kota dan pelancong membanjiri kemuncak Program Iftar Ramadan dan Malam 7 Likur di Dataran Merdeka, di sini yang bermula sejak semalam hingga hari ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, penganjuran program edisi ke 14 pada tahun ini sangat istimewa kerana menarik kehadiran lebih ramai pengunjung yang turut hadir bagi bergambar kenangan dan berbuka puasa di bangunan ikonik iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad.
Beliau berkata, program hari ini juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, salah satunya rewang.
“Keistimewaan tahun ini kerana pengunjung boleh berbuka puasa dengan latar belakang Bangunan Sultan Abdul Samad berwajah baru.
“Hari ini, walaupun hujan, ada 50,000 pengunjung hadir dan setiap minggu pun ada ramai yang datang termasuk pelancong antarabangsa.
“Tak puasa (bukan Ramadan) dan hujung minggu pun ramai jadi kita akan sediakan lebih banyak kemudahan seperti tandas buat pengunjung,” katanya ketika pemberita selepas menyempurnakan program itu di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
Majlis pelancaran program disempurnakan oleh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Rafiq Razali Ketua Pegawai Inovasi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Kandungan dan Rangkaian Televisyen MPB, Amir Rashidi Johari dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio Nazir Noran.
Sementara itu, Pengurus Besar Strategik Penjenamaan Kumpulan MPB, Junisa Jaafar Sidek berkata, penganjuran acara berkenaan salah satu komponen dalam Program Tikar Berkat iaitu acara berbuka puasa bersama rakyat.
“Kita ambil peluang bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk bersama pada malam ini.
“Memang meriah dan nampak orang (pengunjung) yang datang pun bersemangat.
“Pengurusan tertinggi MPB pun ada bersama dan kita akan teruskan tradisi ini kerana seronok serta nampak kemeriahannya,” katanya.
Program Iftar Ramadan dan Malam 7 Likur
hari ini dianjurkan oleh MPB dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Penganjuran program itu bertujuan untuk memeriahkan sambutan Ramadan selain menggalakkan kebersamaan dalam kalangan warga kota.
Kemuncak acara hari ini adalah Program Tikar Berkat anjuran MPB dengan sebanyak 3,000 pek air soya dan 2,500 pek roti john akan diedarkan kepada pengunjung.
Pelbagai pengisian lain turut disediakan termasuk program kerohanian, sumbangan duit raya kepada penghuni Akademi Tahfiz Al Hidayah (ATAH) serta penampilan khas selebriti terkenal tanah air sepanjang program berlangsung.
Program hari ini juga disertai oleh kumpulan pegawai muda DBKL yang akan mengadakan pengisian Rewang Memasak, selain mengagihkan sebanyak 2,000 pek rendang dan ketupat kepada pengunjung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




