Iran tidak mahu konflik dengan negara Islam Asia Barat – Duta

Iran tidak mahu konflik dengan negara Islam Asia Barat – Duta
Iran tidak mahu konflik dengan negara Islam Asia Barat – Duta

Pada 8 Mac, Mojtaba dilantik sebagai pengganti bapanya walaupun belum muncul di khalayak. Foto: Agensi

MOSCOW – Iran menegaskan tidak mahu berkonflik dengan negara Islam di Asia Barat walaupun berdepan ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, kata Duta Besar Iran ke Moscow Kazem Jalali, dalam satu temu bual, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Kami tidak berniat menjejaskan negara di rantau ini. Kami menganggap negara Islam di rantau ini sebagai rakan kami, dan kami sama sekali tidak mahu membuka konflik baharu dengan mereka,” kata Jalali.

Sebelum ini, Pemimpin Agung baharu Iran, Mojtaba Khamenei, dalam ucapan pertamanya berkata, Tehran mungkin akan memperluas konfrontasi dengan AS dan Israel sekiranya ketegangan di rantau ini berterusan.

Jalali berkata, Teheran berulang kali memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas terhadap serangan yang datang dari wilayah negara Asia Barat dan maklumat ini telah disampaikan bukan sahaja secara terbuka tetapi juga melalui saluran diplomatik kepada negara jiran.

“Saya percaya ini tindakan yang rasional kerana kami tidak boleh membenarkan pangkalan di negara lain digunakan untuk menyerang dan membunuh rakyat kami. Namun, kami pasti tidak mahu berperang dengan negara jiran; kami ingin hidup aman dan tenteram,” kata duta itu.

Pada 28 Februari, AS dan Israel melancarkan serangan terhadap sasaran di Iran, termasuk di Teheran yang mengakibatkan kemusnahan dan korban awam.

Iran bertindak balas dengan menyerang wilayah Israel dan kemudahan tentera AS di Asia Barat.

AS dan Israel pada awalnya mendakwa serangan ‘permulaan’ mereka diperlukan untuk menangkis ancaman program nuklear Iran, tetapi kemudian menegaskan mereka mahu melihat perubahan kuasa di Iran.

Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei, dilaporkan terbunuh pada hari pertama operasi ketenteraan.

Republik Islam mengisytiharkan tempoh berkabung selama 40 hari dan pada 8 Mac, anaknya Mojtaba dilantik sebagai pengganti, walaupun belum muncul di khalayak.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei berkata, Pemimpin Agung baharu itu cedera tetapi berada dalam keadaan baik. – Bernama-Sputnik/RIA Novosti

Ringkasan AI

  • Iran tidak mahu berkonflik dengan negara Islam di Asia Barat walaupun ada ketegangan dengan AS dan Israel
  • Duta Iran ke Moscow menyatakan negara Islam di Asia Barat dianggap sebagai rakan
  • Tehran akan bertindak balas terhadap serangan yang datang dari wilayah negara Asia Barat
  • AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran yang mengakibatkan kemusnahan dan korban awam
  • Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dan anaknya Mojtaba dilantik sebagai pengganti
Scroll to Top