'UMNO belum dapat tempat di hati rakyat Kelantan' – Ahmad Jazlan

'UMNO belum dapat tempat di hati rakyat Kelantan' – Ahmad Jazlan

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: UMNO Kelantan menyifatkan sehingga kini parti itu masih belum mendapat tempat di hati rakyat bagi mengambil alih kepimpinan negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, walaupun UMNO pernah menawarkan pelbagai tawaran termasuk menyediakan manifesto yang terbaik namun masih tidak diterima rakyat.

Malah katanya, UMNO sudah memberi perkhidmatan yang terbaik pada rakyat negeri ini walaupun mereka adalah pembangkang.

“Namun rakyat masih dilihat tidak menolak kerajaan negeri. Apa yang kerajaan negeri buat walaupun silap, masih diterima oleh rakyat Kelantan.

“Jika dilihat keadaan ekonomi Kelantan sendiri, ia dibantu oleh Kerajaan Pusat dan sektor swasta.

“Pertumbuhan ekonomi yang dijana oleh kerajaan negeri kita tahu berada pada tahap yang lemah namun rakyat Kelantan menerimanya.

“Terus terang saya katakan sehingga hari ini UMNO masih lagi belum mendapat tempat di hati rakyat untuk mengambil alih negeri Kelantan. Situasi saya katakan ini adalah untuk hari ini, mungkin setahun lagi suasana berbeza dan ketika pilihan raya juga berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Moreh Ramadan Bersama Pengamal Media Kelantan di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut katanya, walaupun UMNO mungkin tidak akan mendapat sejumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, namun sekurang-kurangnya rakyat memberi mandat untuk beberapa kerusi kepada parti itu.

“Kita ada kawasan tumpuan namun tidak perlu saya sebut di sini. Kita tahu walaupun kita tak boleh dapat keseluruhan yang besar, tetapi kita tidak mahu tercicir.

“Rakyat juga perlu faham bahawasanya dalam sebuah negeri atau negara, tidak boleh ada kuasa mutlak yang memimpin. Mesti ada semak dan imbang.

“Biarlah kita jadi penyemak dan imbang. Walaupun rakyat belum masa nak beri pada UMNO untuk memimpin, biarlah beri kerusi yang cukup untuk kita bertegur kelemahan kerajaan negeri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top