Paris: Olympique Lyon terlepas peluang kembali ke tangga ketiga Ligue 1 selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang Le Havre yang bermain dengan 10 orang, awal pagi tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Paulo Fonseca gagal memintas Marseille untuk slot automatik Liga Juara-Juara dan kini berada di tangga keempat, dua mata di belakang seteru terbabit.
Lyon juga kini melalui empat perlawanan liga tanpa kemenangan sekali gus menyaksikan mereka semakin jauh daripada perebutan kejuaraan.
Le Havre beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-55 selepas Stephan Zagadou dilayangkan kad merah.
Namun Lyon gagal memanfaatkan kelebihan itu apabila hanya mencatat satu percubaan tepat ke gawang pada separuh masa kedua dalam aksi yang hambar.
Keputusan itu turut menyaksikan Lyon kini hanya tiga mata di depan Lille yang menghuni tangga kelima, manakala Monaco dan Rennes pula sekadar satu mata di belakang.
Dalam satu lagi perlawanan, Lille menewaskan Rennes 2-1 hasil jaringan Matias Fernandez-Pardo dan Hakon Haraldsson.
Strasbourg kendalian Gary O’Neil pula terikat tanpa jaringan dengan Paris FC sekali gus ketinggalan enam mata daripada kelompok kelayakan Eropah.
Sementara itu, Toulouse menamatkan kemarau enam perlawanan tanpa kemenangan apabila Mario Sauer menjaringkan gol dramatik pada minit ke-99 untuk menewaskan Metz 4-3.
© New Straits Times Press (M) Bhd




