TNB, TM jalin kerjasama strategik perkukuh pembangunan tenaga hijau

TNB, TM jalin kerjasama strategik perkukuh pembangunan tenaga hijau

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) hari ini mengumumkan kerjasama strategik bagi memperkukuh usaha dalam pembangunan solusi tenaga hijau di seluruh negara.

Dalam kenyataan pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan pada 9 Mac lalu, kerjasama itu bagi menggabungkan kepakaran kedua-dua syarikat itu dalam bidang tenaga hijau dan teknologi digital selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) serta agenda transformasi digital negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, pihaknya menilai potensi pemasangan sistem solar sehingga 150 premis TM sebagai pelaksanaan awal kerjasama berkenaan.

“Pertambahan stesen pengecasan, pengguna kenderaan elektrik (EV) mempunyai lebih banyak lokasi untuk mengecas, sekali gus memberikan kemudahan dan pengalaman penggunaan yang lebih baik.

“Kami juga komited menyokong NETR bagi mempertingkat penggunaan tenaga boleh baharu serta memperkukuh agenda peralihan negara ke arah pelepasan sifar bersih menjelah 2050,” katanya dalam kenyataan media.

Tambah Shamsul, melalui GSPARX, pakej sistem solar akan terus ditambah baik agar memberi nilai tambah kepada pengguna serta peningkatan rangkaian stesen pengecasan EV turut dirangka dalam pelaksanaan kerjasama berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, TM dan TNB mewakili dua tonggak utama infrastruktur kritikal negara serta kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat untuk memperkukuh ekosistem tenaga serta digital Malaysia secara lebih mampan.

“Selaras dengan aspirasi Digital Powerhouse 2030, kerjasama ini mencerminkan usaha TM dalam memperkasa transformasi digital merentasi sektor-sektor utama negara,” katanya.

Sehingga 31 Disember 2025, GSPARX, yang secara rasmi ditubuhkan pada Januari 2018, sudah berjaya memperoleh lebih daripada 530MW projek solar bumbung, menyokong penggunaan tenaga boleh baharu di lebih 3,000 kediaman dan premis komersial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top