Ribut petir, hujan diramalkan pada Aidilfitri – MetMalaysia

Ribut petir, hujan diramalkan pada Aidilfitri – MetMalaysia

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan ramalan cuaca khas sempena Sambutan Aidilfitri 1447H/2026M bermula 20 Mac hingga 22 Mac.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini di Facebook memaklumkan pada 20 Mac ribut petir dan hujan dijangka berlaku di sembilan negeri pada waktu petang.

Ini termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Di Sabah, membabitkan bahagian Pantai Barat, pedalaman dan Tawau sementara di Sarawak membabitkan bahagian Kapit, Miri dan Limbang.

Di sebelah pagi, hujan turut dijangka di beberapa tempat di Perak dan Tawau, Sabah.

Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga dijangka hujan pada waktu malam termasuk bahagian pedalaman dan Tawau di Sabah serta Kapit, Miri dan Limbang, Sarawak.

Sementara itu pada 21 Mac iaitu tarikh dijangka Aidilfitri, ribut petir dan hujan dijangka berlaku pada waktu petang di Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak, Kuala Lumpur Dan Putrajaya.

Bagi Sarawak, ia membabitkan Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman.

Waktu pagi, hujan membabitkan Perak manakala di waktu malam hujan di beberapa tempat iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kuala Lumpur dan Tawau, Sabah.

Manakala pada hari berikutnya, iaitu 22 Mac, ribut petir dan hujan dijangka berlaku di Sabah membabitkan kawasan Pantai Barat dan Sandakan serta Sarawak di kawasan Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman.

MetMalaysia menyeru rakyat Malaysia untuk merancang perjalanan ketika musim perayaan Aidilfitri supaya perjalanan lebih baik dan selamat.

Segala maklumat lanjut berkenaan ramalan cuaca akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan boleh dirujuk di media sosial serta laman web MetMalaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top