Lagi kes bunuh di Tangkak, wanita Vietnam maut ditikam rakan

Lagi kes bunuh di Tangkak, wanita Vietnam maut ditikam rakan

am@hmetro.com.my

Tangkak: Satu lagi kes bunuh berlaku di daerah ini membabitkan seorang wanita yang ditemukan maut selepas ditikam di leher di sebuah kilang di sini, pagi tadi.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10 pagi itu membabitkan wanita warga Vietnam berusia 51 tahun yang ditikam rakan senegara yang juga wanita berusia 55 tahun.

Menurut sumber, pada awalnya mangsa dan suspek berbual seperti biasa di tempat kerja di kilang dalam sebuah kawasan perindustrian di sini.

“Suspek tiba-tiba menikam leher mangsa hingga parah.

“Tikaman itu menyebabkan mangsa jatuh dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, selepas menikam leher mangsa, suspek mengelar leher dan tangan menyebabkan dia cedera parah.

“Suspek dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Difahamkan, perbuatan suspek juga direkodkan melalui kamera litar tertutup (CCTV) dipasang dalam kilang terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, polis akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian ini dalam masa terdekat.

Kejadian bunuh ini adalah yang kedua berlaku dalam tempoh empat hari selepas kes pertama membabitkan lelaki berusia 38 tahun maut ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang petang Jumaat lalu.

Mangsa, Tong Wei Sheng, 38, disahkan meninggal dunia ketika menerima di Hospital Tangkak akibat kecederaan dialaminya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top