firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dion Cools sah bakal mengetuai skuad Harimau Malaya dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Hanoi, pada 31 Mac ini.
Perkhabaran itu hadir selepas kelabnya di Jepun, Cerezo Osaka mengumumkan pemain pertahanan berdarah warisan Belgium-Malaysia itu dipanggil oleh pengendali negara, Peter Cklamovski.
“Dion Cools terpilih untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia,” kata kelab itu di laman sosial rasmi pasukan.
Susulan itu, Cools membalas dengan menegaskan beliau sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik bersama pasukan kebangsaan.
“Ini adalah aksi penting untuk memastikan kelayakan ke Piala Asia.
“Jadi, saya akan membuat persiapan rapi dan memberikan yang terbaik untuk mencapai keputusan positif dalam aksi menentang Vietnam. Saya menantikan cabaran ini,” kata Cools.
Difahamkan, senarai penuh bagi mengikuti kem latihan negara akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ketika ini, skuad Harimau Malaya menghuni tangga pertama Kumpulan F dengan mengumpul 15 mata maksimum daripada lima aksi dilalui.
Begitupun, kedudukan itu dijangka berubah susulan isu tujuh pemain yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada September lalu atas kesalahan pemalsuan dokumen kelahiran.
Kemungkinan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bakal memotong enam mata ke atas Malaysia berikutan dua aksi terdahulu ketika menang ke atas Nepal (2-0) dan Vietnam (4-0) menyaksikan tujuh pemain terbabit diturunkan, sekali gus pemotongan mata dijangka berlaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd



