Istanbul: Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas enam peluru berpandu balistik dan 21 dron yang dilancarkan dari Iran pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Satu kenyataan Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara telah menembak jatuh sebanyak 304 peluru berpandu balistik, 15 peluru berpandu krus dan 1,626 dron sejak bermulanya serangan Iran pada 28 Februari lepas.
Menurut kementerian, dua tentera Emiriah dan lima orang awam pelbagai kewarganegaraan terkorban, manakala 145 orang lagi cedera dalam serangan Iran itu.
Kementerian itu menegaskan bahawa pihaknya kini berada dalam “kesiagaan tinggi dan bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang ancaman serta menentang sekeras-kerasnya percubaan untuk menggugat keselamatan negara, selain melindungi kedaulatan, keselamatan, kestabilan serta kepentingan nasional.”
Ketegangan serantau memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, yang setakat ini telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, juga Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk, yang menurutnya bertujuan menyasarkan “aset ketenteraan AS.”
Beberapa daripada serangan berkenaan telah menyebabkan kematian dan kerosakan pada infrastruktur awam, termasuk lapangan terbang, pelabuhan serta bangunan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




