am@hmetro.com.my
Setiu: Allahyarham Mohamad Shakiran Saidi, 36, anggota tentera yang maut dalam kemalangan di Kilometer 70 Bandar Permaisuri di sini, hari ini amat teruja untuk memakai pakaian sedondon berwarna merah bersama keluarga pada Aidilfitri tahun ini.
Isterinya Nor Fatin Mohd Azhar, 36, berkata, mereka lima beranak tidak pernah berpakaian sedondon pada Aidilfitri memandangkan mereka pasangan perkahwinan jarak jauh (PJJ) sejak 11 tahun lalu.
“Namun tahun ini suami tiba-tiba minta saya sediakan baju raya untuk diri sendiri serta tiga orang anak kami manakala baju Melayu miliknya dibeli sendiri.
“Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian dan baju Melayu dibeli itu turut ditemui dalam kereta yang dinaikinya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu, di sini, hari ini.
Katanya, arwah juga tidak sabar untuk berjumpa anak bongsu mereka, Muhamad Harasy Mikhail yang kini berusia lapan bulan.
“Saya hanya mengetahui suami terbabit kemalangan selepas dihubungi salah seorang pengguna laman Facebook (FB).
“Ketika sedang bekerja di sebuah hospital di Kelantan saya tergerak hati untuk membuka FB kira-kira 2 petang,” katanya.
Katanya, dia cuba menghubungi pemberi maklumat untuk kepastian dan turut menghubungi pengurusan kem serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu.
“Sebaik mendapat pengesahan saya terus pulang ke rumah sebelum bergerak ke Unit Forensik Hospital Setiu bersama keluarga,” katanya.
Katanya, dia sendiri tidak menyangka kepulangan suami yang ditunggu-tunggu untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga berakhir dengan tragedi.
“Impian kami untuk hidup bersama selepas sekian lama hidup berasingan tidak juga kesampaian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




