Dowman cipta sejarah, Rooney pesan jangan terlalu tekan

Dowman cipta sejarah, Rooney pesan jangan terlalu tekan

London: Legenda Manchester United, Wayne Rooney percaya pemain sensasi Arsenal, Max Dowman perlu diberikan ruang untuk menikmati detik manis selepas mencipta sejarah sebagai penjaring termuda dalam saingan Liga Premier.

Dowman yang baru berusia 16 tahun dan 73 hari melakar rekod berkenaan ketika membantu Arsenal menewaskan Everton 2-0 pada aksi di stadium Emirates.

Tonggak remaja berbakat itu meledak gol pada saat akhir perlawanan selepas melakukan larian lebih separuh padang sebelum tenang menewaskan penjaga gol lawan.

Menurut Rooney, pemain muda seperti Dowman perlu diberi peluang menikmati momen penting itu tanpa tekanan berlebihan.

“Saya fikir biarkan dia menikmati detik ini dan terus mengekspresikan permainannya.

“Pengurus Arsenal, Mikel Arteta dan pemain senior dalam pasukan pasti akan memastikan dia tidak terlalu mendahului langkah, tetapi pada masa sama dia juga perlu menikmati pencapaian itu,” katanya.

Rooney sendiri pernah mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol buat Everton ketika menentang Arsenal pada 2002 ketika berusia 16 tahun dan 360 hari.

Bekas penyerang England itu berkata, kemunculan pemain muda seperti Dowman jelas menunjukkan bakat besar yang dimilikinya dan berharap remaja berkenaan mampu memenuhi potensi dimiliki.

Sementara itu, Arsenal yang kini mendahului liga dengan 70 mata daripada 31 perlawanan bakal berdepan juara Jerman, Bayer Leverkusen pada aksi timbal balik UEFA Champions League, Selasa ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top