'Biarpun jadi bos tapi tetap buat kerja kuli juga'

'Biarpun jadi bos tapi tetap buat kerja kuli juga'

am@hmetro.com.my

SIRI 3

Bukan mudah untuk kekal relevan dan bertahan dalam bidang seni yang dibanjiri kehadiran bakat baharu dan pempengaruh ketika ini.

Namun, berkat menjaga disiplin dan memberi sepenuh komitmen pada karier lakonan, nama pelakon berkaliber, Fasha Sandha terus bertahan dan kekal relevan dalam industri hiburan lebih dua dekad.

Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan juga masih diberi kepercayaan beraksi watak utama dalam drama, walaupun usianya sudah mencecah 41 tahun.

Bukan itu saja, malah, wanita bergelar isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata ini juga terus mendapat kepercayaan sebagai duta kepada beberapa jenama terkenal.

Berkongsi rahsia kekal relevan, Fasha yang diberi jolokan aktres berdisiplin berkata, dia sentiasa berpegang pada pesanan dan nasihat ibunya, Hatijah Teh Man untuk sentiasa menjaga disiplin ketika mula melangkah menjadi anak seni.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih bertahan dalam bidang seni. Apa yang penting, kita harus ikhlas dalam setiap kerja yang kita lakukan.

“Sebagai contoh, selain berlakon, saya juga seorang usahawan di mana saya boleh lakukan semua perkara dari bawah sampai atas. Sebagai bos, kita juga selalu kena tunduk ke bawah, contohnya, saya akan buat kerja dari bos sampailah kuli.

“Sebagai pelakon, saya juga sentiasa menjaga disiplin dan komitmen dalam karier seni yang juga periuk nasi, Insya-Allah, ia akan membantu kita berjaya tidak kira apa pun yang berlaku,” katanya.

Walaupun pernah terpalit kontroversi, kata Fasha, dia yakin dengan disiplin, komitmen, ketetapan masa terhadap kerja yang dijaga selama ini membuatkan namanya terus bertahan dalam industri seni.

“Semua ujian dan kontroversi yang berlaku dalam hidup saya juga membentuk diri saya kini lebih matang, yakin, cekal dan tidak mudah mengalah,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya bagaimana dia berdepan dengan kontroversi pula, kata Fasha, dia tidak mengambil perkara itu terlalu serius kerana menganggap semuanya adalah pinjaman dalam kehidupan.

“Kita ambil mudah sahaja dan tidak perlu nak fikir serius sangat soal gosip dan kontroversi yang melanda dan kalau rasa sedih pun sekejap sahaja.

“Sebab itu, bila nama terpalit dengan gosip atau kontroversi dalam industri, saya tidak pernah patah semangat kerana tidak ambil perkara itu secara serius sebab saya seorang yang kuat semangat,” katanya.

Mengenai soal persaingan pula, kata Fasha, dia tidak menganggap dirinya bersaing dengan mana-mana pelakon kerana masing-masing berada dalam kelas tersendiri.

“Jadi lebih kepada menjaga nama kita sendiri. Semua tahu saya lebih kepada menjaga disiplin dan komitmen dalam karier seni sejak dulu,” katanya.

Pada masa sama, kata Fasha, dia sentiasa menghormati dan menjaga hubungan baik dengan pelakon senior dan artis veteran di lokasi penggambaran.

Berkongsi pengalaman yang sukar dilupakan pula, kata Fasha, antara kenangan manis ialah ketika terbabit dengan penggambaran drama bersiri sebanyak 100 episod berjudul Lara Aishah terbitan Global Station Sdn Bhd dulu.

“Kami bekerja dalam satu pasukan yang sama dan penggambaran berlangsung selama lapan bulan.

“Saya berasa seronok kerana sepanjang bekerja dalam tempoh lapan bulan itu kami tidak pernah ada masalah atau salah faham sekali pun dalam produksi.

“Dari segi pencapaian pula, saya pernah menang sembilan anugerah dan yang terbesar dan tidak boleh dilupakan ialah ketika memenangi dua kategori dalam drama dan filem pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada 2008,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top