Sumbangan Kotak Rezeki, pek moreh Nasi Mekdi buat pelajar

Sumbangan  Kotak Rezeki, pek moreh Nasi Mekdi buat pelajar

rnoraina@hmetro.com.my

Kajang: McDonald’s Malaysia bersama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) meneruskan inisiatif membantu pelajar kurang berkemampuan dan berdepan tekanan sara hidup, melalui Program Santun Pelajar.

Program yang menutup tirai bulan Ramadan itu meraikan pelajar Universiti Islam Selangor (UIS) melalui penebusan 200 pek hidangan moreh nasi Mekdi dan sumbangan Kotak Rezeki kepada 40 pelajar daripada golongan B40.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, program itu sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam menyantuni komuniti, terutama belia yang sedang menempuh cabaran kewangan.

“Jadi kita berharap dengan tajaan makanan ini dapat membantu serba sedikit keperluan harian pelajar dalam bebanan kos hidup yang semakin meningkat masa kini.

“Dengan program ini juga kita berharap pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian tanpa dibelenggu keperluan asas seperti makanan,” katanya ketika ditemui media selepas program berkenaan di restoran pandu lalu McDonald’s Bandar Seri Putra di sini.

Turut hadir Naib Canselor UIS, Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah; Pengarah Kanan Jenama McDonald’s, Azman Mohammad; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit; Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad dan Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz.

UIS antara 20 institut pengajian tinggi (IPT) di 11 negeri yang terbabit fasa permulaan dengan 50,000 hidangan Nasi Mekdi diperuntukkan kepada pelajar, bermula 19 Februari hingga 10 Mac lalu.

Setiap set Nasi Mekdi mengandungi nasi putih, kuah kari kentang, Ayam Tenders McD (pedas), telur, sayur dan minuman teh ais limau dengan penebusan baucar dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam bagi mengelakkan kesesakan waktu puncak berbuka puasa.

Mengulas lanjut mengenai program itu, beliau berkata, ia akan diteruskan sehingga hujung tahun ini dengan lebih banyak IPT akan dipilih untuk menerima manfaat terbabit.

Katanya, pihaknya menyasarkan sebanyak satu juta hidangan menjelang akhir 2026.

Sementara itu, Husain berkata, kolaborasi bersama McDonald’s Malaysia diharap dapat memberi sedikit kelegaan buat mereka menjalani ibadah puasa dengan ketenangan berikutan kos sara hidup yang semakin mencabar.

“Kita mahu semua pelajar gembira lebih-lebih lagi pelajar dalam golongan B40 yang amat memerlukan dan kita meraikan mereka melalui program ini.

“Kita juga berterima kasih kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar UIS atas kerjasama dalam mengenal pasti pelajar yang layak menerima bantuan terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UIS Datuk Prof Dr Mohd Farid Ravi Abdullah menghargai usaha McDonald’s Malaysia dan TKHM menyantuni pelajarnya.

Katanya, beliau yakin pelajar tidak lagi berdepan masalah untuk mendapatkan makanan dan minuman kerana sebahagiannya sudah ditaja pihak McDonald’s.

“Kerjasama strategik UIS bersama McDonald’s Malaysia akan memberi impak positif dan lonjakan kerjaya kepada pelajar dengan melihat kapasiti, kepakaran, kemahiran serta pengalaman luas dimiliki syarikat berkenaan.

“Malah, UIS turut mempunyai program halal, program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) serta perniagaan. Jadi ini semua boleh kita kolaborasikan secara kemahiran bersama kedua-dua pihak,” katanya.

Selain sumbangan dan sesi penebusan makanan, McDonald’s dan TKHM turut meraikan pelajar UIS dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di Masjid Al-Azhar di universiti berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top