NONTHABURI — Pihak berkuasa Thailand telah menumpaskan satu sindiket besar yang didakwa mengubah suai kertas jawapan peperiksaan bagi membolehkan calon lulus dalam ujian kemasukan jawatan kerajaan tempatan.
Serbuan dilakukan oleh polis bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara (NACC) di sebuah rumah di daerah Bang Yai, wilayah Nonthaburi, pada Isnin petang.
Dalam operasi tersebut, kira-kira 10 individu ditahan, kebanyakannya terdiri daripada pegawai kerajaan.
Pihak berkuasa turut merampas 18 komputer serta ribuan helaian jawapan milik kira-kira 3,000 peserta peperiksaan yang dipercayai menjadi sasaran manipulasi sindiket berkenaan.
Menurut siasatan awal, sindiket tersebut dipercayai mengubah suai jawapan peperiksaan bagi memastikan calon tertentu lulus dalam ujian pengambilan jawatan kerajaan tempatan yang diadakan di seluruh negara pada Februari tahun lalu.
Difahamkan, setiap calon yang terlibat dikenakan bayaran antara 350,000 hingga 800,000 baht (RM43,687- RM99,865) bergantung kepada jawatan yang dipohon.- Agensi



