Brazil sisih Neymar

Brazil sisih Neymar

Rio de Janeiro: Harapan Neymar untuk beraksi di Piala Dunia FIFA semakin tipis apabila jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti tidak menyenaraikannya dalam skuad bagi dua perlawanan persahabatan di Amerika Syarikat.

Brazil akan menentang Perancis di Boston pada 26 Mac dan Croatia di Orlando pada 31 Mac dalam aksi terakhir sebelum senarai rasmi pemain ke Piala Dunia diumumkan.

“Neymar belum berada pada tahap 100 peratus, sebab itu dia tidak berada dalam senarai,” kata Ancelotti.

“Neymar belum berada pada tahap kemampuan penuh. Jika dia boleh kembali cergas sepenuhnya, dia masih boleh berada dalam skuad. Neymar masih berpeluang ke Piala Dunia. Dia perlu terus bekerja keras, bermain, mempamerkan kualitinya dan mengekalkan tahap kecergasan yang baik.”

Neymar, 34, merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol, namun pemain berpengalaman itu tidak beraksi di peringkat antarabangsa sejak mengalami kecederaan lutut serius pada Oktober 2023 ketika kelayakan Piala Dunia menentang Uruguay.

Kini, dia bermain bersama kelab zaman mudanya, Santos FC dalam liga utama Brazil selepas melalui tempoh gemilang bersama FC Barcelona dan Paris Saint-Germain, selain beraksi seketika di Al Hilal SFC di Arab Saudi.

Brazil yang berada di ranking kelima dunia layak ke Piala Dunia dengan agak selesa dan diundi dalam Kumpulan C bersama Haiti, Maghribi dan Scotland.

Skuad Selecao akan membuka kempen pada 13 Jun menentang Maghribi di East Rutherford, New Jersey, yang juga venue perlawanan akhir pada 19 Julai.

Selepas tarikh akhir senarai pemain, Brazil dijadualkan mengharungi perlawanan pemanas badan menentang Panama pada 31 Mei dan Mesir pada 6 Jun.

Brazil satu-satunya negara yang layak ke setiap edisi Piala Dunia dan memenangi lima kali rekod terbanyak, namun mereka tersingkir di suku akhir dalam empat daripada lima edisi terakhir.

Neymar yang sudah tiga kali beraksi di Piala Dunia turut terlepas aksi separuh akhir 2014 selepas cedera ketika Brazil mengalami kekalahan memalukan 1-7 di tangan Jerman.

Skuad 26 pemain bagi aksi persahabatan di Amerika Syarikat turut menyaksikan penyerang Endrick dari Olympique Lyonnais dan penyerang Igor Thiago dari Brentford FC menerima panggilan pertama sejak Ancelotti dilantik tahun lalu.

“Kami sedang membuat persiapan rapi untuk Piala Dunia ini. Kami mahu tiba dengan keadaan terbaik dari segi teknikal, fizikal dan mental,” kata Ancelotti.

“Ada pemain yang layak berada di sini kerana mereka menunjukkan prestasi baik dalam liga masing-masing.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top