
BISA Awards 2026 bukan sekadar platform meraikan kejayaan perniagaan sebaliknya mengangkat nilai sebenar keusahawanan termasuk inovasi, kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat dalam kalangan pemain industri.
BISNES Sinar Harian Awards (BISA) 2026 bukan sekadar platform pengiktirafan malah berperanan sebagai inisiatif strategik dalam memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pendekatan komersial, pemasaran dan komuniti yang lebih menyeluruh.
Pengurus Jabatan Komersial, Pemasaran dan Komuniti Sinar Harian, Rosli Ahmad berkata, penganjuran BISA dirangka bagi memberi nilai tambah kepada usahawan tempatan, bukan hanya melalui penyampaian anugerah tetapi juga sokongan promosi dan jaringan perniagaan yang berterusan.

Rosli
“Sebagai penyumbang lebih 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), PMKS memerlukan platform yang mampu meningkatkan kredibiliti dan keterlihatan jenama mereka di mata pengguna.
“Daripada sudut komersial dan pemasaran, BISA bukan sekadar malam anugerah. Kita membina perjalanan jenama penerima anugerah ini melalui liputan editorial, kandungan digital serta kempen promosi yang tersusun,” katanya.
Tambah beliau, elemen komuniti turut menjadi teras utama apabila BISA menghimpunkan usahawan daripada pelbagai industri dalam satu platform jaringan yang kondusif.
Jelasnya, apabila usahawan dipertemukan dalam suasana yang profesional dan diyakini, ia membuka ruang perkongsian pengalaman serta potensi kerjasama jangka panjang.
“Pendekatan pemasaran tahun ini turut diperluaskan merangkumi platform digital dan media sosial bagi memastikan capaian lebih meluas kepada komuniti perniagaan di seluruh negara,” ulasnya.
Beliau menegaskan BISA juga membuka ruang kepada usahawan baharu dan syarikat yang sedang berkembang untuk menonjolkan potensi masing-masing.
“Kita mahu mengangkat kisah kejayaan usahawan tempatan agar menjadi inspirasi kepada generasi muda serta menyemarakkan budaya keusahawanan dalam negara,” katanya.
Ringkasan AI
- BISA 2026 bertujuan memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana
- BISA memberi nilai tambah melalui sokongan promosi dan jaringan perniagaan
- Platform tersebut meningkatkan kredibiliti dan keterlihatan jenama pengusaha di mata pengguna
- Elemen komuniti menyatukan usahawan dari pelbagai industri untuk berkongsi pengalaman dan kerjasama
- BISA menggalakkan penggunaan platform digital dan media sosial untuk capaian lebih luas



