Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tampil dengan pendekatan berbeza sempena Aidilfitri tahun ini menerusi penghasilan video khas, ‘Di Sebalik Senyuman ‘ yang mengetengahkan kisah sebenar golongan pekerja gig.
Menariknya, video berdurasi hampir empat minit itu tidak menggunakan pelakon, sebaliknya menampilkan empat individu sebenar dalam industri pekerjaan gig iaitu pemandu e-hailing, penunggang p-hailing, seorang badut dan jurubahasa isyarat.

Video berkenaan memperlihatkan rutin harian mereka sejak awal pagi hingga ke senja, di mana pemandu e-hailing yang setia menunggu tempahan dan membawa penumpang ke destinasi selain penunggang p-hailing yang meredah jalan raya demi memastikan pesanan sampai tepat pada waktunya.
Badut pula mengenakan solekan dan kostum demi menghiburkan orang ramai, manakala jurubahasa isyarat yang berusaha membantu komuniti orang kelainan upaya (OKU) pendengaran memahami setiap perkataan yang disampaikan.

Di penghujung video, keempat-empat individu itu menerima notifikasi berkaitan manfaat yang diperoleh hasil pelbagai inisiatif dan perlindungan berkaitan pekerja gig oleh KESUMA.
Pemandu e-hailing tersebut diterima untuk menjalani kursus latihan kemahiran, manakala penunggang p-hailing dimaklumkan mengenai kelulusan Akta Pekerja Gig 2025 di Parlimen.

Sementara itu, pekerja badut pula dimaklumkan bahawa caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi bulan ini telah diterima, manakala jurubahasa isyarat itu pula berjaya dalam permohonannya ke Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM).
Melalui penceritaan itu, video Di Sebalik Senyuman ternyata membawa mesej penghargaan terhadap usaha serta pengorbanan pekerja gig yang sering menjadi tulang belakang kepada pelbagai kemudahan harian masyarakat.

Ia turut menekankan bahawa di sebalik setiap senyuman yang dilihat, terdapat usaha, pengorbanan dan kasih sayang yang jarang disedari oleh orang ramai.




