nurul.hidayah@hmetro.com.my
Rawang: Kewujudan pokok kelapa berhampiran kebun durian dimiliki Afiq Shahif Ibrahim menjadi pencetus idea untuk dia menghasilkan produk hasil kampung iaitu kerisik buatan tangan.
Afiq berkata, selain kerisik, dia turut menghasilkan produk kopi kampung serta asam jawa yang diusahakannya sejak enam bulan lalu.
“Semasa saya berada di kebun durian, saya nampak ada pokok kelapa di kebun itu yang terletak di Kampung Kumbang Bemban, Padang Terap, Kedah.
“Dari situ, tercetus idea untuk saya menghasilkan produk kampung buatan tangan berasaskan kelapa iaitu kerisik. Saya kembangkan idea pengeluaran produk kampung itu kepada kopi dan asam jawa,” katanya ketika ditemui Bisnes Metro, baru-baru ini.
Menurutnya, proses penghasilan kerisik bermula dari pengambilan kelapa tua di sekitar kebun terbabit sebelum diparut, dijemur, digoreng serta ditumbuk.
“Kesemua proses berkenaan dilakukan dengan buatan tangan yang mengambil masa kira-kira enam jam sebelum ia siap untuk dijual.
“Apa yang lebih istimewa dalam penghasilan produk berkenaan adalah proses membakar kelapa tua itu menggunakan arang. Setiap bungkusan kerisik seberat 200 gram dijual pada harga RM12,” katanya.
Katanya, selain itu, dia turut menjual produk kopi kampung pada harga RM13 bagi setiap bungkusan seberat 80 gram dan asam jawa seberat 150 gram dengan harga RM9 sebungkus.
“Sebelum ini, saya hanya jual tembikai dan durian. Ini adalah pengalaman pertama saya menjual produk berkenaan secara terbuka di bazar Ramadan.
“Saya rasa bertuah kerana diberi peluang untuk menjual barangan mentah kering selain makanan sedia dimakan yang lazimnya dijual di bazar Ramadan.
“Kebanyakan pembeli mendapatkan kerisik ini untuk menghasilkan rendang bagi sambutan Aidilfitri nanti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Zon 18 Selayang, Rawang, Yusmarina Yusof berkata, pihaknya memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk menjual produk barangan kering di bazar Ramadan kawasan seliaan mereka.
“Kita mahu beri peluang kepada peniaga tempatan dalam kalangan anak muda di kawasan ini untuk menjana ekonomi.
“Inisiatif ini akan diperluaskan pada tahun depan bagi memberi peluang peniaga memasarkan produk selain membolehkan kepelbagaian jualan di bazar Ramadan.
“Pendedahan berniaga di bazar Ramadan boleh dijadikan sebagai langkah awal untuk peniaga tempatan memperluaskan rangkaian produk mereka sehingga ke pasaran luar negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




