KEMUDAHAN pelan ansuran fleksibel sehingga kadar faedah kosong peratus menjadi antara tarikan kepada pengunjung MATTA Fair April 2026 yang membuat pembelian pakej pelancongan menggunakan Kad Visa/-i RHB.
Melalui kemudahan tersebut, pelanggan boleh membahagikan perbelanjaan pakej pelancongan kepada bayaran bulanan yang lebih mampu milik, sekali gus meringankan beban kewangan terutama bagi pembelian bernilai tinggi.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang menikmati penjimatan eksklusif sehingga RM4,000 menerusi kerjasama RHB Bank dengan rakan pelancongan terpilih.
Tidak hanya itu, mereka yang berbelanja menggunakan Kad Visa/-i RHB juga layak menebus barangan pelancongan eksklusif, di samping berpeluang memenangi Baucer Hotel Mewah bernilai RM5,000.
Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, tawaran tersebut merupakan antara hasil kerjasama MATTA dan Bank RHB yang dimetrai secara rasmi bagi tempoh dua tahun, meliputi 2026 hingga 2027.

Nigel Wong (dua dari kiri) dan Sien Vee Loc selepas menandatangani perjanjian RHB sebagai rakan bank rasmi MATTA, di ibu negara pada Selasa.
Menurutnya, perjanjian berkenaan menjadi pencapaian penting bagi MATTA dan pihaknya berbesar hati untuk mengukuhkan kerjasama tersebut kerana ia membantu menjadikan perancangan perjalanan lebih mudah diakses, mudah dan sangat berbaloi untuk rakyat Malaysia.
“Kerjasama ini melangkaui satu acara sahaja. Dengan kerjasama ini, bermaksud RHB akan menyokong MATTA Fair peringkat nasional.
“Maksudnya Kuala Lumpur serta semua MATTA Fair cawangan kami di setiap negeri di seluruh negara. Dengan itu, kami juga amat berbesar hati untuk mengalu-alukan RHB Bank sebagai rakan bank rasmi kami bagi MATTA Fair April 2026,” katanya ketika sidang media di sini pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Kewangan Pengguna RHB Bank Berhad, Sien Vee Loc berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan usaha RHB Bank dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang lebih fleksibel dan mesra pengguna, sekali gus menyokong keperluan pengembara dalam merancang percutian dengan lebih teratur.
Jelas beliau, Kad Visa/-i RHB kini juga menyokong 34 jenis mata wang dengan sifar caj penukaran asing, berbanding hanya 17 ketika dilancarkan pada 2023 membolehkan pengguna berbelanja dengan mudah seperti penduduk tempatan negara yang dikunjungi.
“Sebagai institusi kewangan yang bertanggungjawab di Malaysia, kami melihat peranan kami bukan sahaja untuk menyokong para pengembara tetapi juga ekosistem pelancongan dan perjalanan yang lebih luas daripada agensi kepada pengendali, penyedia perkhidmatan.
“Jadi satu perkara utama yang kami lakukan selain daripada para pengembara, kami sebenarnya menyokong perniagaan dalam industri melalui penyelesaian RHB TravelPlus kami untuk agensi pelancongan dan pengendali pelancongan mengurus mata wang asing mereka dan turun naik kadar pertukaran,” katanya.
MATTA Fair April 2026 bakal berlangsung dari 3 hingga 5 April 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Diiktiraf secara meluas sebagai Pameran Pelancongan Pengguna Terbesar Malaysia, ia terus berfungsi sebagai platform dinamik yang menghimpunkan pengembara dan pemain industri untuk meraikan kegembiraan serta pelbagai kemungkinan dalam dunia pelancongan.
Meliputi keluasan ruang pameran keseluruhan 40,820 meter persegi merangkumi 10 dewan, pameran tersebut akan menampilkan lebih 2,000 reruai daripada 330 organisasi yang mengambil bahagian, termasuk 210 agensi pelancongan dan pengembaraan yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan terpilih.
Reruai RHB akan dibuka di Aras 1 (Dewan Domestik) dan Aras 2 (Dewan Antarabangsa) sepanjang pameran.
-END-
Ringkasan AI
- Kemudahan pelan ansuran fleksibel sehingga kadar faedah kosong peratus untuk pembelian pakej pelancongan dengan Kad Visa/-i RHB di MATTA Fair April 2026
- Pelanggan boleh menikmati penjimatan eksklusif sehingga RM4,000 dan peluang memenangi Baucer Hotel Mewah berharga RM5,000
- Kerjasama dua tahun antara MATTA dan Bank RHB dari 2026 hingga 2027 untuk memudahkan rakyat Malaysia merancang perjalanan
- Kad Visa/-i RHB menyokong 34 jenis mata wang dengan sifar caj penukaran asing
- MATTA Fair April 2026 diadakan dari 3 hingga 5 April 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur



