Israel sekat akses Masjid al-Aqsa menjelang lailatulqadar

Israel sekat akses Masjid al-Aqsa menjelang lailatulqadar

BAITULMUQADDIS: Pasukan keselamatan Israel bertindak menghalang para jemaah daripada menghidupkan malam lailatulqadar di Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis pada Ahad.

Ia menandakan hari ke-16 berturut-turut tapak suci umat Islam itu ditutup sejak bermulanya perang antara Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran.

Gabenor Baitulmuqaddis Palestin memaklumkan bahawa kawasan Kota Lama kini telah bertukar menjadi zon tentera, dengan pengerahan ratusan tentera dan polis di sekitar kawasan tersebut. 

Tentera Israel turut mendirikan pos pemeriksaan di pintu masuk bandar Al-Issawiya dan mengepung jemaah di Pintu Damsyik sambil memberi ancaman jika mereka enggan bersurai.

Sekatan baharu ini memaksa ramai jemaah menunaikan solat fardu dan solat tarawih di jalanan Kota Lama, sedangkan lazimnya Masjid al-Aqsa akan menerima kehadiran puluhan hingga ratusan ribu jemaah. 

Sepuluh malam terakhir Ramadan mempunyai kepentingan besar buat umat Islam, khususnya dalam usaha memburu malam lailatulqadar yang dijanjikan ganjaran pahala berlipat kali ganda..

Dalam suasana yang amat jarang berlaku, ruang solat di dalam masjid al-Aqsa dilaporkan kosong, di mana solat di dalam bangunan itu hanya dihadkan kepada kakitangan Jabatan Wakaf Islam dan pengawal masjid sahaja. 

Pada masa yang sama, pendatang haram Yahudi bertindak menyerbu Pintu Jaffa pada petang Ahad, yang semakin menyukarkan akses jemaah Islam ke pekarangan masjid. 

Israel dijangka mengekalkan penutupan Masjid Al-Aqsa sepanjang cuti Aidillfitri yang akan datang dan seterusnya.

Sumber yang mengetahui hal ehwal masjid di Baitulmuqaddis itu berkata, pihak berkuasa Israel telah memaklumkan Wakaf Islam, badan yang bertanggungjawab mengurus tapak tersebut, mengenai keputusan itu dalam beberapa hari kebelakangan ini. – AGENSI

 

Scroll to Top