PM sumbang 14,000 ayam percuma untuk warga Permatang Pauh

PM sumbang 14,000 ayam percuma untuk warga Permatang Pauh

PERMATANG PAUH : Sebanyak 14,000 ekor ayam disumbangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kepada penduduk dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, hari ini.

Pegawai Pusat Khidmat Rakyat Madani Permatang Pauh, Ahmad Zhafri Mohd Nazri berkata, sumbangan itu diserahkan kepada semua 29 buah masjid dalam kawasan parlimen itu sebelum diagihkan kepada kariah atau penduduk setempat.

“Jumlah agihan yang dibuat pula bergantung kepada saiz kariah di sesebuah masjid itu iaitu antara 500 hingga 700 ekor bagi setiap masjid.

“Walaupun jumlah sumbangan ayam pada tahun ini berkurangan hampir separuh berbanding tahun lepas, namun, kita bersyukur kerana dapat tunaikan hasrat Perdana Menteri untuk agihkan ayam-ayam ini sebelum Syawal,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa membuat pengagihan kira-kira 400 ekor ayam kepada penduduk setempat di Yayasan Aman Penanti di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Siti Zaiton Mustafa, 70, berkata, dia diberitahu mengenai pengagihan ayam percuma itu melalui jirannya sebelum datang untuk mengambil sumbangn itu dengan ditemani oleh cucunya.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana prihatin terhadap rakyat menjelang hari raya tidak lama lagi. Walaupun bantuan ini mungkin seekor ayam sahaja, tetapi, ia membuktikan bahawa kerajaan Madani sentiasa berusaha untuk membantu rakyat yang susah,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top