am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Mohd Puad Zarkashi memberi bayangan akan membuat satu pengumuman penting pada 27 Jun ini susulan perkembangan terkini dalam UMNO Johor yang disifatkannya membimbangkan.
Beliau berkata, terdapat perkara yang `tidak kena’ kepada UMNO Johor selepas meneliti senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan diumumkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
“Hari ini BN Johor akan umum senarai calon yang akan bertanding di PRN Johor 2026. Melihat senarai calon tersebut ada yang tidak kena kepada UMNO Johor.
“Justeru saya akan membuat pengumuman penting pada 27 Jun 2026. Perkembangan terkini UMNO Johor merisaukan. Saya tidak akan menoleh belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohd Puad bagaimanapun tidak memperincikan perkara yang dimaksudkan dalam kenyataannya itu namun menegaskan orang muda muda terlatih dan berpendidikan seharusnya diberi peluang pada PRN kali ini.
“Saya telah mengumumkan melalui Facebook enam hari lalu bahawa saya tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit kerana faktor usia.
“Saya menegaskan, orang muda terlatih dan berpendidikan semestinya diberi peluang. Tetapi tidak diindahkan. Saya melakukan “keberanian politik” untuk meneruskan perjuangan,” katanya.
Sementara itu, ketika dihubungi, Mohd Puad enggan memperincikan perkara yang dimaksudkannya, sebaliknya hanya berkata “UMNO Johor tidak bebas” dan meminta semua pihak menunggu pengumumannya nanti.
Bagaimanapun, sumber memaklumkan bahawa syarat Mohd Puad untuk berundur adalah bagi memberi laluan kepada anaknya dicalonkan sebagai ADUN.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, Mohd Puad enggan mengesahkannya.
Komen beliau dibuat ketika timbul keresahan berhubung pemilihan calon di beberapa kawasan.
Terdahulu, media melaporkan BN Bukit Kepong mengancam untuk memboikot PRN pada 11 Julai depan sekiranya kerusi DUN Bukit Kepong diberikan kepada “orang luar”.
Terdapat spekulasi mengatakan calon yang akan diletakkan di kerusi berkenaan adalah merupakan individu yang ‘tidak sepatutnya’ atau berlatarbelakangkan calon ‘parti lain’.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengumumkan senarai calon BN yang akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN kali ini di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini jam 2.30 petang ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




