Pemangku Sultan Johor rancang pembangunan kediaman di Jalan Holland, Singapura

Pemangku Sultan Johor rancang pembangunan kediaman di Jalan Holland, Singapura

Singapura: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, merancang membangunkan hartanah kediaman di atas lot tanah milik baginda di Jalan Holland di sini, susulan pertukaran tanah dengan Kerajaan Singapura yang diumumkan tahun lepas.

Satu kenyataan media daripada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) Singapura di dalam laman sesawangnya memaklumkan bahawa URA telah menerima permohonan pembangunan daripada Pemangku Sultan Johor untuk membangunkan lot tanah berkenaan bagi kegunaan kediaman.

“Pemangku Sultan Johor telah mengemukakan permohonan pembangunan di atas tanah baginda untuk membina perumahan berkepadatan rendah dan bertingkat rendah dengan nisbah plot kasar 1.4, serta Banglo Kelas Baik ,” menurut kenyataan URA hari ini.

Pada Jun 2025, satu perjanjian pertukaran tanah telah dipersetujui yang menyaksikan Singapura menerima plot tanah seluas 13 hektar (ha) bersebelahan Taman Botani Singapura, manakala Tunku Mahkota Ismail menerima sebidang tanah kerajaan seluas 8.5 hektar sebagai pertukaran.

Susulan perjanjian itu, Pemangku Sultan Johor kini memiliki 16.6 hektar tanah di Jalan Holland yang sesuai untuk kegunaan kediaman bertingkat rendah dan berkepadatan rendah.

Menurut kenyataan itu URA dan agensi berkaitan telah menyemak permohonan pembangunan berkenaan dan menilai bahawa pelan yang dicadangkan adalah serasi serta sensitif terhadap kawasan kejiranan kediaman sekitarnya.

Pelan berkenaan juga mematuhi sekatan ketinggian semasa bagi melindungi pemandangan visual Taman Botani Singapura, yang merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sehubungan itu, URA mencadangkan pengezonan semula lot tanah Pemangku Sultan Johor daripada status “kegunaan khas” dan “kawasan lapang” kepada status “kediaman”.

“Sekiranya cadangan pengezonan semula itu diluluskan, sebahagian daripada lot tanah yang dizonkan sebagai ‘kediaman’ juga akan ditetapkan sebagai kawasan banglo kelas baik bagi mencerminkan jenis perumahan yang akan dibangunkan.

Pemaju akan dikehendaki menjalankan kajian alam sekitar sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan bagi mengurangkan sebarang impak berpotensi terhadap alam sekitar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top