Batu Pahat: “Bantuan Kotak Rezeki datang pada waktu yang tepat dan meringankan beban terutama ketika persiapan meraikan Aidilfitri tidak lama lagi,” kata Zawati Isyqi Kusin, 42.
Dia antara 200 penerima yang disantuni pada Program Kotak Rezeki Pekebun Kecil Sawit dan Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Dewan Serbaguna Taman Industri Sri Sulong, di sini, baru-baru ini.
Kata Zawati, perbelanjaan meningkat dua kali ganda menjelang perayaan dan itu termasuklah keperluan barangan dapur.
“Saya sangat bersyukur apabila bantuan kotak rezeki diterima sememangnya barangan diperlukan seharian seperti beras, tepung, minyak dan nasi impit sememangnya digunakan untuk raya.
“Penjimatan dianggarkan sehingga Rm200 berdasarkan pemerhatian kasar saya terhadap barang yang diterima.
“Saya boleh gunakan wang belanja dapur untuk keperluan lain terutama keperluan raya tiga orang anak dalam jagaan sejak bercerai dengan suami 11 tahun lalu,” katanya.
Dia berharap program berkenaan dapat diperluaskan lagi dan diperbanyakkan agar golongan nasib ibu tunggal sepertinya terbela.
Bagi Noraini Sulaiman, 52, ibu kepada dua anak orang kurang upaya (OKU) melihat bantuan kotak rezeki itu dapat mengurangkan beban keluarganya.
“Saya ada dua orang anak OKU dan salah seorangnya bergantung penuh kepada keperluan lampin pakai buang.
“Bayangkan tidak kurang RM300 untuk keperluan itu dan tentu sahaja apa pemberian dan perkongsian rezeki dalam program seperti ini kami terima dengan rasa syukur serta terbuka.
“Saya berterima kasih terhadap usaha pihak penganjur yang menyantuni dan bersikap prihatin terutama meraikan kami dalam majlis berbuka seperti ini.
“Kami dari komuniti baik pekebun kecil dan orang kampung berasa terharu kerana masih ada pihak yang sudi menyantuni kami,” katanya.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi, Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF), Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) dan Harian Metro dalam meraikan golongan penting dalam industri sawit negara.
Penerima itu juga dipilih berdasarkan keutamaan iaitu golongan ibu tunggal, OKU dan warga emas terutama yang uzur.
Sementara itu Salamah Ibrahim, 70, antara golongan warga emas yang menerima bantuan melihat bantuan kotak rezeki itu memberi keceriaan dalam meraikan syawal tidak lama lagi.
“Bantuan kotak rezeki diterima lebih daripada jangkaan saya mungkin hanya dua tiga barang dapur yang penting.
“Alhamdulillah ia lebih daripada 10 barang dan kesemuanya sangat berguna untuk menjamu kedatangan ahli keluarga yang menziarahi ketika raya,” katanya.
Sumbangan kotak rezeki juga disampaikan oleh menteri yang juga ahli Parlimen Parit Sulong.
© New Straits Times Press (M) Bhd




