
Tawaran VTO dari Sunway memberi peluang kepada pemegang saham IJM untuk menjana keuntungan. Gambar hiasan
RHB Investment Bank Bhd (RHBIB) yakin jika pengambilalihan sukarela (VTO) terhadap IJM Corporation Bhd oleh Sunway Bhd tidak diteruskan, keadaan status quo akan membolehkan IJM mengekalkan peluang untuk memanfaatkan nilai.
Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu menjelaskan perkara tersebut berpotensi dicapai melalui inisiatif seperti penyenaraian perniagaan pembinaan IJM serta pengunduran syarikat daripada operasi di India termasuk lebuh raya bertol dan aset hartanahnya, dalam tempoh dua tahun akan datang.
RHBIB menambah realisasi perancangan itu boleh memberikan kebolehlihatan lebih jelas terhadap nilai kendiri IJM.
Tawaran VTO memberi peluang kepada pemegang saham untuk menjana keuntungan daripada bahagian pegangan mereka melalui komponen tunai di samping mengekalkan penyertaan dalam kumpulan Sunway yang diperbesarkan melalui pertimbangan saham, menurutnya.
“Sehubungan itu, keputusan muktamad kemungkinan besar bergantung kepada keutamaan pemegang saham IJM sama ada untuk menjual sebahagian nilai pada masa ini atau mengekalkan pendedahan kepada prospek jangka masa panjang entiti gabungan tersebut (nilai pembangunan kasar (NPK) yang lebih besar bagi setiap ekar).
“Oleh itu, kami mengekalkan harga sasaran (TP) sebanyak RM3.15 sesaham yang mencerminkan harga tawaran oleh Sunway yang boleh dipilih oleh pemegang saham IJM,” jelasnya.
RHB IB mengekalkan saranan beli terhadap IJM.
Melalui pemakluman pada 13 Mac, M&A Securities yang bertindak sebagai penasihat bebas kepada IJM, berpendapat harga VTO pada RM3.15 yang ditawarkan oleh Sunway adalah tidak adil dan tidak munasabah.
Pemegang saham IJM mempunyai masa sehingga 6 April untuk menolak atau menerima tawaran pengambilalihan daripada Sunway itu.
Urus niaga itu akan diteruskan jika Sunway memperoleh lebih 50 peratus penerimaan daripada pemegang saham IJM. – Bernama
Ringkasan AI
- RHB Investment Bank Bhd berpendapat jika pengambilalihan sukarela IJM oleh Sunway tidak diteruskan, IJM masih dapat memanfaatkan nilai melalui inisiatif tertentu
- Realisasi nilai IJM dapat dicapai melalui penyenaraian perniagaan pembinaan dan pengunduran dari operasi di India
- Tawaran VTO dari Sunway memberi peluang kepada pemegang saham IJM untuk menjana keuntungan
- Keputusan akhir pemegang saham IJM bergantung kepada pilihan antara menjual sebahagian nilai atau mengekalkan penyertaan jangka panjang
- RHB IB mengekalkan saranan beli terhadap IJM dengan harga sasaran RM3.15 sesaham



