am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Sambutan Aidilfitri tahun ini bertukar suram buat keluarga Muhammad Faiq Zafran, 24, apabila mereka masih dihimpit kebimbangan memikirkan nasib anaknya itu yang kini ditahan di Jepun sejak November tahun lalu.
Bapanya, Mohd Jailani Ambak, 52, berkata, sehingga kini keluarga masih belum mendapat sebarang perkembangan jelas mengenai keadaan Faiq yang ditahan di Toyamanishi, Jepun.
Menurutnya, mereka hanya dimaklumkan bahawa Faiq sudah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah di negara itu, namun butiran lanjut mengenainya masih tidak diketahui.
“Sejujurnya kami masih buntu kerana tidak tahu bagaimana keadaan dia di sana, sehingga sekarang kami tidak dapat maklumat yang jelas mengenai dirinya.
“Sebagai ibu bapa, sudah tentu kami sangat risau kerana tidak tahu keadaan sebenar yang sedang dilaluinya,” katanya.
Menurut Mohd Jailani, kebimbangan itu juga menyebabkan keluarganya tidak bersungguh untuk membuat sebarang persiapan Aidilfitri tahun ini seperti kebiasaan.
Katanya, mereka bukan saja tidak membeli kelengkapan Aidilfitri termasuk baju baharu, malah persiapan menyambut Aidilfitri juga tidak dilakukan kerana fikiran masih tertumpu kepada nasib Faiq di sana.
“Biasanya bila nak raya, kami akan buat persiapan seperti beli baju raya dan sediakan keperluan lain tetapi tahun ini langsung tidak terfikir ke arah itu.
“Fikiran kami sekeluarga masih buntu memikirkan keadaan Faiq di sana bagaimanapun harapan kami cuma mahu tahu bagaimana keadaannya sekarang di sana,” katanya.
Menurutnya, keluarganya juga sudah melantik seorang peguam di Jepun melalui kenalan bagi membantu menguruskan kes itu, namun sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang perkembangan lanjut.
Situasi itu katanya, menambahkan lagi kebimbangan keluarga lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri.
Katanya, tumpuan keluarganya kini terhadap anak kedua itu dan berharap kes berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya selain kami sentiasa memantau perkembangan dari masa ke semasa.
Media sebelum ini melaporkan Faiq yang berlepas ke Jepun pada November lalu dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di negara itu sebelum ditahan di Toyama.
Bagaimanapun, terdapat percanggahan maklumat berhubung penangkapannya termasuk laporan awal yang mendakwa dia ditahan bersama wang dan emas bernilai kira-kira RM500,000.
Pemuda itu kemudian didakwa pada Januari lalu atas kesalahan penipuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




