Khabar angin Rais Yatim sertai UMNO

Khabar angin Rais Yatim sertai UMNO

am@hmetro.com.my

Jelebu: UMNO Negeri Sembilan tidak menerima permohonan daripada bekas Ahli Parlimen Jelebu yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Tan Sri Rais Yatim untuk menyertai semula parti.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaludin Alias berkata, biarpun ada khabar angin berkenaan hasrat bekas Yang Dipertua Dewan Negara menyertai semula UMNO, setakat ini belum ada permohonan diterima.

Katanya UMNO mengalu-alukan sekiranya Tan Sri Rais berhasrat untuk menyertai semula parti dan tiada masalah mengenainya.

“UMNO berlapang dada dalam hal ini, kita tiada masalah namun perlu buat permohonan mengikut ketetapan yang diguna pakai ketika ini dan sekiranya khabar angin yang sampai ke telinga saya ini benar, UMNO mengalu-alukan apatah lagi ada dakwaan Tan Sri Rais sudah keluar dari parti BERSATU.

“Prosesnya sama seperti dilakukan oleh beberapa pemimpin parti dari negeri ini yang dipecat dan digantung sebelum ini apabila mengemukakan permohonan melalui bahagian, dibincang di peringkat UMNO negeri kemudian diangkat ke UMNO pusat,” katanya ditemui pada Program Mantai Rayo Peringkat DUN Pertang di Kompleks UMNO Jelebu di sini hari ini.

Mengulas lanjut Jalaluddin yang juga ADUN Pertang dan Ahli Parlimen Jelebu berkata UMNO negeri akan bermesyuarat pada 14 April ini bagi membincangkan permohonan menyertai semula parti oleh pemimpin dari cawangan dan bahagian yang digantung dan dipecat sebelum ini termasuk bekas Ketua UMNO Bahagian Jempol Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

“Kita berharap semua masalah dapat diselesaikan dengan segera sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 sekali gus membina kekuatan UMNO,” katanya.

Sementara itu Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata 36 DUN di negeri ini menjadi lokasi program Mantai Rayo.

Katanya pendekatan kali ini berbeza berbanding program Mantai Perdana peringkat negeri yang hanya tertumpu di Seremban sahaja.

“Di setiap DUN, seramai 100 penduduk membabitkan golongan asnaf menerima daging sekilogram percuma setiap seorang.

“Malah ada beberapa lokasi, ADUN kawasan terbabit turun berkongsi rezeki memberi secara percuma barangan keperluan seperti di DUN Pertang apabila telur dan ayam diberi secara percuma ,”katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top