am@hmetro.com.my
Pendang: Ketupat daun buluh yang asalnya warisan masyarakat Siam dan Cina kini semakin menjadi pilihan ramai menjelang Aidilfitri.
Hidangan unik dari mukim Padang Pusing ini bukan sahaja menampilkan aroma tersendiri hasil balutan daun buluh malah teksturnya yang kenyal menjadikan ia pilihan ramai sebagai pelengkap di pagi raya.
Pengusahanya, Sarah Hussain, 43, berkata, minat terhadap juadah tradisi itu bermula secara tidak sengaja sebelum akhirnya menjadi sumber pendapatan sejak 2017.
Katanya, permintaan ketupat daun buluh meningkat setiap tahun dan Ramadan tahun ini tempahan mencecah hampir 16,000 biji atau 1,000 kilogram.
“Pada mulanya mak dan kakak hanya buat untuk makan keluarga masa raya, saya sendiri pun tak tahu buat ketupat ini.
“Lepas saya kongsi gambar di media sosial, ramai yang mula bertanya dan daripada situ saya mula ambil tempahan walaupun ketika itu masih belajar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Murai, di sini, baru-baru ini.
Sarah berkata, walaupun bahan untuk menyediakan ketupat itu ringkas iaitu daun buluh, beras pulut susu dan air abu namun ia memerlukan ketelitian agar tidak mudah rosak.
“Daun buluh perlu dipilih dengan teliti, dibersihkan dan disejat sebelum pulut dibasuh, digaul dengan air abu, kemudian dibalut kemas. Selepas itu ketupat direbus antara tujuh hingga lapan jam,” katanya.
Sarah berkata, ketupat yang siap direbus akan disejat dan dibekukan bagi memastikan kualiti dan ketahanan produk, membolehkan ia disimpan antara enam hingga 12 bulan.
Katanya, kaedah sejuk beku juga memudahkan dia menyediakan stok lebih awal untuk memenuhi tempahan musim perayaan.
“Ketupat daun buluh juga dikenali sebagai ketupat gajah ini berbeza daripada ketupat palas kerana tidak menggunakan santan, jadi rasanya lebih ringan dan tahan lama.
“Ia sesuai dimakan dengan serunding, rendang, gulai, malah ada yang makan bersama susu pekat, gula melaka atau coklat mengikut citarasa masing-masing,” katanya.
Sarah berkata, dia menjual ketupat itu dengan harga RM28 sekilogram dan turut menerima tempahan dari luar Kedah seperti Kuala Lumpur, Selangor, dan Perak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




