Pemain gitar legenda, Man Kidal meluahkan rasa lega apabila akhirnya dapat merealisasikan hasrat arwah sahabatnya, Kidat dengan menerbitkan lagu raya berjudul Aspirasi Raya.
Man Kidal atau nama sebenarnya Abdul Rahman Mahmood, 65, berkata lagu tersebut sebenarnya telah lama disimpan sebelum diputuskan untuk dilancarkan sempena Syawal 2026.
“Lagu ini sebenarnya sudah disimpan hampir empat tahun. Arwah sahabat saya, Kidat pernah memberikan amanah kepada saya untuk menerbitkannya dan saya rasa sekarang adalah waktu yang paling sesuai.
“Saya hanya melaksanakan hasrat yang ditinggalkannya. Walaupun dia sudah tiada, sekurang-kurangnya saya dapat menunaikan amanah tersebut.
“Arwah merupakan sahabat baik saya. Hubungan kami menjadi semakin rapat selepas tempoh PKP walaupun dia bukan seorang pemuzik, tetapi minatnya terhadap muzik sangat mendalam,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Aspirasi Raya di sebuah hotel di Putrajaya, baru-baru ini.
Lagu tersebut menampilkan gabungan Man Kidal & Friends bersama penyanyi Syamel Amzah yang turut menjayakan karya berkenaan.

Dalam masa yang sama, Man turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Sulaiman selaku Pengarah Timeless Studio yang bertindak sebagai penerbit lagu tersebut.
Sulaiman berharap lagu Aspirasi Raya mampu diterima baik oleh pendengar dan menjadi antara pilihan sepanjang musim perayaan.
“Timeless Studio masih baharu dalam industri ini. Kerjasama ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang untuk kami menghasilkan karya bersama Man Kidal pada masa akan datang.
“Terima kasih juga kepada Nawy yang turut terlibat dalam projek ini dan memberi sokongan kepada kami untuk terus berkarya. Kami berharap lagu ini dapat diterima oleh pendengar,” katanya.

Sementara itu, Syamel mengakui teruja apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan figura legenda seperti Man Kidal.
“Saya memperoleh banyak ilmu baharu apabila dapat bertemu dan bekerja dengan abang Man Kidal serta rakan-rakan. Pengalaman ini memang tidak boleh dinilai dengan apa-apa.
“Saya juga mengambil sedikit masa sebelum bersetuju menyertai projek ini kerana sebelum ini lebih selesa dengan kerja sebagai hos secara langsung berbanding menyanyi secara serius. Namun saya anggap ini sebagai satu rezeki dan peluang yang sangat berharga,” katanya.
Lagu Aspirasi Raya kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik, manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi YouTube.



