sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Tempoh cuti lima hari diberikan kepada pemain Terengganu FC (TFC) sempena Aidilfitri berbanding hanya sehari pada musim lalu dijangka mampu meningkatkan motivasi mereka.
Pengurus pasukan, Mohd Sabri Abas berkata, Aidilfitri pada tahun ini, pihak pengurusan membenarkan pemain bercuti lebih panjang bersama keluarga masing-masing sebelum berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 11 April ini.
Bagaimanapun, beliau meletakkan harapan tinggi agar anak buahnya dapat mengekalkan tahap kecergasan walaupun diberikan cuti lebih panjang.
Pada masa sama beliau turut mengharapkan anak buahnya dapat menjaga keselamatan diri dan keluarga terutama mereka yang mengharungi perjalanan yang jauh.
“Pemain diberi cuti mulai Khamis (esok) sehinggalah 23 Mac sebelum kembali menyambung latihan pada 24 Mac bawah kendalian jurulatih, Tengku Hazman Raja Hassan.
“Biarpun cuti pada tahun ini lebih lama berbanding tahun lalu, namun saya ingatkan pemain agar dapat menjaga kecergasan kerana tugasan seterusnya menentang JDT adalah perlawanan pastinya lebih getir.
“Mereka diingatkan tidak mengambil makanan tidak berkhasiat ketika berhari raya selain pihak kejurulatihan juga membekalkan mereka dengan program latihan individu dalam usaha mengekalkan kecergasan,” katanya kepada NSTP.
Ketika ditanya mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) pasukannya yang menyasarkan kedudukan sekurang-kurangnya di tempat kelima liga, beliau melihat skuadnya berada pada landasan terbaik untuk merealisasikannya.
“Berdasarkan kedudukan terkini liga, pasukan kami masih kekal menghuni di tangga kelima dengan perbezaan sembilan mata dengan pasukan Negeri Sembilan (NS) di tangga keenam, jadi dengan berbaki lima perlawanan lagi, saya melihat KPI itu dapat dicapai biarpun bakal berdepan JDT, NS, Kuching City, Imigresen dan Sabah,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




