am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan memperkukuh penguatkuasaan terhadap kesalahan alam sekitar termasuk kemasukan e-waste haram melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
NRES dalam kenyataan berkata, ia bagi meningkatkan penyelarasan antara agensi di bawah kementerian dan memperkukuh keberkesanan tindakan penguatkuasaan agensi-agensi di bawah NRES.
Menurutnya, tumpuan diberikan kepada isu lambakan kontena e-waste, operasi kilang haram, pengurusan barang sitaan serta penambahbaikan dasar dan penguatkuasaan.
“Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Penguatkuasaan NRES Bil. 1/2026 ini dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Tuan Syed Ibrahim Syed Noh pada 16 Mac lalu.
“Ia menekankan pengukuhan tindakan penguatkuasaan pelbagai isu
berkaitan alam sekitar termasuk kemasukan e-waste haram.
“Antara isu utama yang dibincangkan ialah lambakan kontena e-waste di pelabuhan, kesukaran mengenal pasti pemilik kontena dan kilang haram e-waste, kekangan pengurusan barang sitaan serta cabaran dalam proses pelupusan dan tindakan undang-undang,” katanya.
Kenyataan itu berkata, mesyuarat turut meneliti perkembangan operasi penguatkuasaan termasuk Ops Bongkar Kontena dan Ops Hazard bagi mengekang kemasukan buangan berjadual ke negara.
“Beberapa cadangan strategik sudah dikenal pasti termasuk cadangan penubuhan pejabat cawangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pelabuhan Klang, pindaan Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 serta pengukuhan pengurusan barang sitaan dan logistik penguatkuasaan.
Kerajaan juga sedang meneliti penubuhan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Menangani Sisa E-Waste Haram untuk memperkukuh pendekatan bersepadu di peringkat nasional,” katanya.
Menurutnya, pasukan itu akan bermesyuarat secara berkala setiap bulan atau mengikut keperluan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara terselaras, berfokus dan berkesan.
Katanya, ia turut membabitkan agensi utama di bawah NRES termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).
© New Straits Times Press (M) Bhd



