Lapan cedera dalam dua letupan bom berasingan di selatan Thailand

Lapan cedera dalam dua letupan bom berasingan di selatan Thailand
Lapan cedera dalam dua letupan bom berasingan di selatan Thailand

Sebuah motosikal yang dipercayai dipasang bahan letupan tiba-tiba meletup, menyebabkan lima anggota polis cedera. – Gambar hiasan

PATTANI – Lima anggota polis dan tiga orang awam cedera dalam dua kejadian letupan bom berasingan di wilayah selatan Thailand pada Selasa dan awal pagi Rabu.

Jurucakap Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), Kolonel Yuttanam Pechmuang berkata, letupan pertama berlaku di pusat kawalan keselamatan polis di Kampung Thanam, daerah Panare, Pattani pada jam 7 malam Selasa.

Menurutnya, sebuah motosikal yang dipercayai dipasang bahan letupan tiba-tiba meletup, menyebabkan lima anggota polis cedera serta kerosakan kepada tiga kenderaan dan bangunan.

“Siasatan awal mendapati suspek telah memasang bahan letupan pada motosikal sebelum melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Pattani dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Dalam kejadian berasingan awal pagi Rabu, sebutir bom yang dipasang pada sebuah motosikal meletup di hadapan ibu pejabat kawalan keselamatan renjer di daerah Khok Pho.

Yuttanam berkata, letupan itu menyebabkan kecederaan kepada penduduk di kawasan berhampiran serta kerosakan pada sebuah kenderaan milik anggota renjer.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan motif serangan. ISOC 4 menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua kejadian ini supaya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa mana-mana individu yang didapati melindungi suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda sebanyak 40,000 baht (RM5,300). – Bernama

Ringkasan AI

  • Lima anggota polis dan tiga orang awam cedera dalam dua kejadian letupan bom di Pattani, Thailand
  • Letupan pertama berlaku di pusat kawalan keselamatan polis, cedera lima anggota polis
  • Motosikal yang dipercayai dipasang bahan letupan meletup, menyebabkan kerosakan kepada kenderaan dan bangunan
  • Dalam kejadian kedua, bom pada motosikal meletup di hadapan ibu pejabat renjer, menyebabkan kecederaan kepada penduduk
  • ISOC 4 menyeru maklumat dari orang ramai dan memberi amaran hukuman kepada yang melindungi suspek
Scroll to Top