TEHERAN – Amerika Syarikat (AS) didakwa meniru reka bentuk dron Iran, Shahed-136, sebelum menjenamakannya semula sebagai Lucas untuk digunakan dalam serangan terhadap infrastruktur di Asia Barat.
Langkah itu dilihat sebagai taktik licik dalam operasi bendera palsu (false flag) yang bertujuan memburukkan imej Teheran di mata negara-negara jiran, sekali gus mengheret rantau tersebut lebih jauh ke dalam pusaran konflik.
Pendedahan itu dibuat Markas Pusat Khatam al-Anbiya di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) selepas musuh kini berdepan kekalahan strategi di medan perang dan gagal membina pakatan untuk menentang Iran.
“Objektif mereka adalah untuk memburukkan imej Teheran dan menyemai perpecahan di rantau ini serta membuatkan tindakan pertahanan Iran dipersoalkan.
“Ia berdasarkan siri serangan mencurigakan ke atas fasiliti penting termasuk di Turkiye, Kuwait dan Iraq. Media Barat dan seteru kami secara melulu mengaitkannya dengan Iran,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Laporan media Barat berulang kali mengaitkan Iran dengan siri serangan ganas ke atas fasiliti utama di negara Teluk. Foto Agensi
Menurutnya, operasi ketenteraan Iran dijalankan secara berdisiplin dan mengikut prinsip undang-undang yang jelas serta hanya menyasarkan sasaran ketenteraan milik AS dan rejim Zionis.
Sejak lebih dua minggu lalu, Teheran didakwa bertanggungjawab terhadap siri serangan dron yang membedil infrastruktur ekonomi, kawasan penempatan serta premis diplomatik.
Iran secara tegas menafikan ia bertanggungjawab atas kempen pengeboman ke terhadap sasaran awam.
Cubaan sabotaj
Pada Ahad, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi sekali lagi menegaskan mereka tidak pernah menyasarkan kawasan penempatan di negara Teluk yang mungkin telah didalangi Israel.
Beliau mengesahkan perkara itu menerusi wawancara bersama rangkaian berita, al-Araby al-Jadeed ketika perang ganas tersebut memasuki hari ke-16.
“Rejim Zionis jelas cuba mensabotaj hubungan Teheran bersama negara-negara jirannya,” katanya sambil menambah Iran bersedia untuk menubuhkan jawatankuasa bersama bagi menyiasat kawasan awam yang telah dibedil.

Operasi ketenteraan Iran hanya menyasarkan pangkalan musuh.
Araghchi juga mengulangi kenyataan serangan balas mereka ke atas pangkalan dan kepentingan musuh hanya untuk mempertahankan diri.
“Iran tetap mengekalkan hubungan diplomatik bersama Qatar, Arab Saudi, Oman dan negara-negara jiran kami yang mungkin terpedaya dengan operasi bendera palsu tersebut,” menurutnya.
Jelasnya lagi, tiada inisiatif khusus yang dikemukakan untuk menamatkan peperangan tersebut, namun Teheran mengalu-alukan usaha serantau yang mahu mengakhiri konflik itu secara adil.
“Ia perlukan jaminan bahawa peperangan ini tidak akan berulang dan pihak terbabit membayar ganti rugi atas kemusnahan yang berpunca daripada kempen pencerobohan mereka,” ujarnya.
Ketika ini, serangan ke atas negara-negara Teluk terus diperhebatkan dan Teheran sekali lagi dipersalahkan atas kempen pengeboman tersebut. – Agensi
Ringkasan AI
- AS didakwa meniru reka bentuk dron Iran, Shahed-136 dan menjenamakannya semula sebagai Lucas
- Langkah AS dilihat sebagai operasi bendera palsu untuk memburukkan imej Teheran
- Markas Pusat Khatam al-Anbiya menyatakan tujuan penggunaan dron adalah untuk mencetuskan perpecahan di Asia Barat
- Iran menafikan tuduhan bertanggungjawab atas serangan kepada infrastruktur awam dan menegaskan operasinya berdisiplin
- Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan Iran tidak menyasarkan kawasan penempatan dan bersedia untuk menyiasat bersama negara-negara jiran



