
Jemaah khusyuk mendengar khutbah disampaikan di Masjid Salafiyah Syafi’iyah, Desa Suger Kidul, Kecamatan Jelbuk, Kabupaten Jember, Jawa Timur pada Khamis. – Foto Agensi
JEMBER – Beberapa komuniti di Indonesia menyambut lebaran lebih awal sebelum tarikh 1 Syawal diumumkan secara rasmi oleh pemerintah.
Tular di media sosial tiga desa di Pulau Taliabu, Maluku Utara meraikan Aidilfitri pada Rabu ketika umat Islam di seluruh negara masih menjalani ibadah puasa.
Penduduk di Desa Kawalo, Desa Woyo dan Desa Holbota memaklumkan mereka beraya dahulu kerana mereka berpuasa tiga hari hari lebih awal sebelum tanggal ditetapkan pemerintah.
Pada pagi Khamis, sebahagian warga Desa Suger Kidul, Kecamatan Jelbuk, Kabupaten Jember di Jawa Timur juga sudah pun melaksanakan solat sunat Aidilfitri.
Komuniti di Jember Utara itu menetapkan tarikh 1 Syawal berdasarkan kiraan kitab salaf Nushatul Majaalis Wa Muntahabul Nafaais karangan Syaikh Abdurrohman As-Sufuri As-Syafi’i dan ia telah diamalkan sejak ratusan tahun.
Selain itu, sebahagian warga Kelurahan Ntobo, Kecamatan Raba, Kota Bima di Nusa Tenggara Barat juga beraya awal.
Sambutan Aidilfitri yang mendahului tarikh rasmi turut melibatkan beberapa pesantren yang membuat kiraan berdasarkan kitab masing-masing.
Antaranya, ratusan jemaah Tarekat Syattariyah di Kecamatan Sukorejo, Kabupaten Ponorogo dan komuniti Pondok Pesantren Al Khoiriyah, Desa Wates, Kecamatan Sumbergempol, Kabupaten Tulungagung di Jawa Timur.
Pemerintah melalui Kementerian Agama (Kemenag) menjadualkan sidang isbat pada Khamis meskipun pertubuhan Islam terbesar, Muhammadiyah terlebih dahulu mengumumkan 1 Syawal jatuh pada Jumaat berdasarkan kaedah Hisab Hakiki Wujudul Hilal iaitu pengiraan astronomi yang tidak memerlukan cerapan anak bulan. – Agensi
Ringkasan AI
- Beberapa komuniti di Indonesia menyambut lebaran lebih awal sebelum tarikh 1 Syawal diumumkan secara rasmi oleh pemerintah
- Tiga desa di Pulau Taliabu, Maluku Utara meraikan Aidilfitri lebih awal berdasarkan permulaan puasa yang lebih awal
- Warga Desa Suger Kidul di Jawa Timur juga melakukan solat sunat Aidilfitri sebelum pengumuman rasmi
- Komuniti di Jember menetapkan 1 Syawal berdasarkan kiraan kitab salaf yang telah diamalkan sejak ratusan tahun
- Pesantren dan komuniti di beberapa daerah lain di Jawa Timur beraya awal berdasarkan kiraan kitab masing-masing



